fbpx
SUSPEK telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes tikam seorang penuntut perempuan sebuah IPT.

Cederakan kekasih selepas tak makan pujuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki yang terlibat dalam kes tikam penuntut perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dekat sini telah digantung pengajian kerana dipercayai memukul mangsa beberapa minggu lalu.

Suspek berusia 19 tahun dari Butterworth, Pulau Pinang itu bagaimanapun dalam proses dipanggil balik untuk meneruskan pengajian asasinya dalam jurusan Komputer Sains pada 23 Mac ini.

Difahamkan, sebelum kejadian tikam itu, remaja tersebut datang ke kampus untuk memujuk mangsa yang didakwa teman wanitanya selepas hubungan mereka bermasalah.

Mangsa pula kini dalam pengajian asasi bagi tahun kedua dalam jurusan perubatan.

Sumber memaklumkan, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan teman wanitanya yang memutuskan hubungan mereka yang terjalin sejak di bangku sekolah.

“Difahamkan hubungan mereka selama ini juga tidak mendapat persetujuan ibu bapa penuntut perempuan terbabit.

“Namun begitu, suspek tetap berusaha memujuk teman wanitanya itu agar tidak meninggalkannya,” dakwanya di sini semalam.

Katanya, suspek juga dikatakan seorang lelaki yang pendiam tetapi sukar menerima kenyataan cintanya ditolak.

“Mangsa dikatakan menolak rayuan suspek semasa bertemu di hadapan perpustakaan menyebabkan remaja lelaki itu marah sebelum mengugut untuk membunuhnya.

“Suspek turut merampas telefon bimbit milik mangsa menyebabkan mangsa menangis sebelum memulangkan kembali dan mengajak mangsa ke tempat yang lebih sunyi untuk berbincang,” dakwanya.

Tambahnya, disebabkan mangsa enggan memenuhi kemahuannya, suspek kemudian menarik tangan teman wanitanya itu dan menikamnya di bahagian belakang badan dan leher menggunakan sebilah pisau lipat.

“Akibat kejadian itu, teman wanitanya mengalami kecederaan parah dan rebah kerana kehilangan banyak darah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” dakwanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang penuntut perempuan sebuah IPT cedera parah dipercayai akibat ditikam kenalan lelaki yang tidak berpuas hati apabila hubungan mereka berakhir dalam kejadian di kampus IPT itu dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa cedera parah di bahagian belakang akibat ditikam berulang kali oleh suspek.

Suspek kemudian ditahan polis semasa mendapatkan rawatan di klinik kampus berkenaan kerana turut cedera tertikam pisau semasa bergelut dengan mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN