fbpx
Bas menjadi pengangkutan pilihan ramai anak-anak perantau untuk pulang ke kampung sempena hari raya biarpun berlaku kenaikan harga tiket. – GAMBAR HIASAN

Tambang bas balik raya naik dua kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Anak-anak perantau terkejut apabila tambang bas sehala dari ibu kota ke Pantai Timur sempena Hari Raya Aidilfitri ini meningkat dua kali ganda sehingga RM85.

Malah, ada syarikat pengusaha bas yang menaikkan harga tiket mencecah RM120 pada tarikh-tarikh yang mendapat permintaan tinggi menjelang hari raya.

Tinjauan Kosmo! di laman sesawang platform penjualan tiket mendapati, tambang bas ke Kelantan melonjak ke RM85 berbanding harga pada hari biasa bermula RM40 sahaja. Bagi destinasi ke Terengganu, tambang bas turut naik sehingga 55 peratus, apabila tiket dijual pada harga lingkungan RM80 hingga RM90 berbanding RM45 pada hari biasa.

Seorang kerani khidmat pe­langgan, Farah Damia Abdullah, 29, berkata, dia terpaksa akur membeli tiket bas pulang ke Pasir Mas pada harga RM85, tiga hari sebelum Aidilfitri.

Katanya, disebabkan terkejut dengan harga yang melonjak berbanding tahun sebelum ini, dia terpaksa menabung lebih awal bagi membeli tiket untuk dirinya dan suami.

“Harga RM85 ini baru satu hala, kalau dua hala pulang semula ke Kuala Lumpur dah jadi RM170. Saya pula tahun ini pulang dengan suami, jadi dua tiket kami RM340.

“Tahun lepas saya pulang naik bas juga, tapi harga nak dekat musim raya tidaklah berganda macam ini. Dahulu cuma RM40,” katanya yang bekerja di Shah Alam kepada Kosmo! semalam.

Farah percaya ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga tiket demi meraih keuntungan sempena hari raya.

“Saya harap pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dan semakan terhadap kenaikan tambang bas balik raya,” ujarnya.

Kerani kewangan, Salmah Karim, 35, turut terkejut apabila tiket bas pulang ke Pasir Puteh melonjak dua kali ganda pada harga RM85 berbanding hari biasa, namun dia tiada pilihan lain.

Katanya, menaiki bas menjadi pilihan utama kerana tidak sanggup meredah kesesakan jalan berjam-jam lamanya jika memandu bersendirian.

“Tahun lepas memang saya bawa kereta pulang ke kampung tetapi terpaksa hadap 20 jam perjalanan gara-gara jalan sesak. Tahun ni saya tidak sanggup lagi, jadi saya pilih naik bas.

“Namun tak sangka pula harga tiket bas pun lebih kurang minyak dan tol kalau memandu kenderaan persendirian,” katanya.

Peniaga makanan, Kazim Kaza, 40, pula reda apabila perlu membeli tiket pulang ke kampung di Kuala Terengganu pada harga dua kali ganda iaitu RM70 bagi perjalanan sehala.

Katanya, dia terpaksa mengeluarkan hampir RM500 bagi membeli tiket dirinya, isteri dan seorang anak.

“Terkejut memang terkejut dengan harga tiket tak masuk akal, tetapi kami sekeluarga nak pulang naik kereta, tapi kereta pun dah usang. Nak tak nak, memang kena naik bas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN