fbpx
PAVITRAH (dua dari kiri) pernah mengalami kecederaan ACL yang memerlukannya menjalani pembedahan dan berehat panjang.

K2

Pavitrah wakil Malaysia dalam sukan bola jaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI salah seorang pemain untuk pasukan bola jaring negara merupakan satu kebanggaan buat Pavitrah Sathiaseelan, 21.

“Saya terpilih mewakili negara buat pertama kali pada usia 18 tahun untuk Kejohanan Bola Jaring Asia 2022.

“Kerja keras saya dalam sukan bola jaring akhirnya terbalas apabila saya berpeluang mewakili negara,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Namun begitu, Pavitrah melalui pengalaman pahit ketika mewakili negara tiga tahun lalu.

Pada perlawanan keduanya mewakili negara, dia berhadapan kecederaan yang sangat serius.

 Pavitrah mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang memerlukannya menjalani pembedahan dan dia perlu berehat panjang.

“Saya mengambil masa hampir setahun untuk proses pemulihan.

“Setelah pulih saya berusaha meningkatkan prestasi dan membuat kemunculan semula pada tahun lalu untuk mewakili Malaysia,” jelasnya.

Pada 2024, dia mewakili negara untuk Kejohanan Bola Jaring Asia yang berlangsung di India.

Selain mewakili negara, Pavitrah juga mewakili pasukan KL Wildcats untuk Liga Super Bola Jaring (NSL) 2025 yang berlangsung pada bulan lalu.

Lebih membanggakan pasukannya itu juga telah menjadi juara NSL.

Dalam pada itu, Pavitrah menjelaskan, penglibatannya dalam sukan bola jaring bermula sejak dia di bangku sekolah rendah lagi.

PAVITRAH membantu pasukannya KL Wildcats untuk menjuarai Liga Super Bola Jaring (NSL) 2025 yang berlangsung pada bulan lalu di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika di darjah dua gurunya meminta dia mewakili sekolah untuk bola jaring.

“Sejak itu saya serius dengan sukan ini dan kemudian menyambung persekolahan peringkat menengah di Sekolah Sukan Kuala Lumpur sehingga tingkatan tiga.

“Selepas itu, saya mendapat tawaran untuk belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil,” ujarnya yang bermain di posisi pertahanan.

Ketika di zaman persekolahan, Pavitrah juga telah mewakili Kuala Lumpur untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) untuk peringkat umur 12, 15 dan 18 tahun.

Meskipun sibuk dengan latihan dan kejohanan sukan bola jaring, tidak menghalang Pavitrah untuk memberi tumpuan penuh kepada pendidikan.

Sehubungan itu, dia meneruskan pengajian di UKM dan ingin mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang guru pendidikan khas.

“Ramai orang bertanya mengapa saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan khas.

“Saya memang minat dengan bidang ini dan saya rasa ia sesuatu yang lain dan tidak ramai yang memilih bidang pendidikan khas ini.

“Saya ingin berbakti kepada golongan minoriti dan ia juga menjadi sebab saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pavitrah mengakui terlibat aktif dalam sukan dan dalam masa yang sama menjadi seorang pelajar bukanlah sesuatu yang mudah.

Dia perlu mengatur masa dengan sebaiknya bagi memastikan kedua-duanya bergerak seiring.

“Saya perlu tahu untuk membahagikan masa antara kedua-duanya dan selalunya saya akan belajar pada lewat malam.

“Pada hari yang ada latihan saya akan tidur awal dan kemudian bangun pada lewat malam untuk belajar.

“Selain itu, saya juga perlu selalu bertanya kepada rakan-rakan memandangkan ada kelas yang saya tidak dapat sertai kerana sibuk dengan latihan bola jaring,” jelasnya.

Pada tahun ini, Pavitrah juga sibuk dengan beberapa kejohanan bola jaring.

Untuk Jun nanti dia akan terlibat dengan Kejohanan Remaja Asia di Korea Selatan. Kemudian pada September, dia akan terlibat dengan Kejohanan Remaja Dunia di Gibraltar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN