PETALING JAYA – Sebahagian pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang membuat pinjaman along kerana desakan hidup tidak menyedari mereka termasuk dalam perangkap apabila akaun bank mereka dijual kepada scammer untuk memasukkan wang mangsa penipuan.
Siasatan polis mendapati, statistik pada tahun lalu menunjukkan seramai 2,381 mangsa berusia 17 tahun hingga 33 tahun telah menjadi mangsa kepada sindiket keldai akaun dan kebanyakan mangsa terdiri daripada penuntut IPT.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kebanyakan mangsa tidak mengetahui akaun mereka telah dijual kepada sindiket keldai akaun selepas menyerahkannya kepada pemberi pinjaman wang tidak berlesen termasuk along.
Katanya, pelajar IPT itu hanya menyedari mereka terjerat selepas dipanggil oleh pihak berkuasa untuk membantu siasatan ke atas pemilik akaun digunakan sindiket ketika melakukan penipuan.
“Soal siasat mendapati, pelajar IPT membuat pinjaman along kerana terdesak dan mungkin mengalami kesempitan hidup sepanjang tempoh belajar.
“Mereka mengambil peluang tanpa memikirkan implikasi jenayah dalam meminjamkan atau menyewakan akaun mereka kepada along,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Ramli, pelbagai cara digunakan oleh sindiket penipuan untuk mendapatkan keldai akaun daripada individu sebegini antaranya dengan menjanjikan komisen secara sekali bayar, komisen
mengikut transaksi wang yang masuk, dilantik sebagai pengarah syarikat dan seumpamanya.
Tambahnya, ada juga mangsa hanya melihat faedah jangka pendek tanpa memikirkan risiko atau akibat jangka panjang. Mungkin mereka teruja dengan wang yang mudah diperoleh.
“Ada dalam kalangan mereka yang memberikan akaun untuk pinjaman mudah tetapi berakhir dengan akaun mereka digunakan ketika menipu mangsa atau lebih dikenali sebagai keldai akaun,” katanya.
Ujar Ramli, secara keseluruhan sejumlah 129,811 keldai akaun telah dikesan sepanjang tiga tahun iaitu dari tahun 2022 hingga 2024.
“Jumlah keldai akaun meningkat setiap tahun iaitu daripada 33,258 pada 2022 kepada 46,084 pada 2023 dan terus meningkat kepada 50,469 pada 2024,” katanya.
Menurut Ramli, beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada peningkatan kes keldai akaun telah dikenal pasti dengan desakan kewangan merupakan salah satunya.
“Siasatan mendapati ramai dalam kalangan pemilik akaun adalah mereka yang terdesak dari sudut kewangan, sama ada masih bekerja, tidak bekerja dan sebagainya.
Selain itu tambah Ramli, ramai pemilik keldai akaun juga tidak menyedari sepenuhnya implikasi jenayah yang terlibat.
“Mereka mungkin melihat tindakan menyerahkan akaun bank mereka sebagai cara mudah untuk mendapatkan wang, tanpa mengetahui bahawa mereka sebenarnya sedang terlibat dalam aktiviti jenayah.
“Sindiket scammer juga sering kali menggunakan teknik manipulasi psikologi, seperti meyakinkan mangsa bahawa mereka hanya bertindak sementara atau bahawa tiada sebarang risiko yang besar ketika memberi akaun mereka kepada sindiket,” katanya. -KOSMO! ONLINE













