DALAM usaha memenuhi peningkatan permintaan terhadap profesional berkemahiran, Universiti Taylor’s telah melancarkan program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan baru-baru ini.
Inisiatif yang bersifat ke hadapan ini bertujuan mempersiap graduan untuk mengatasi cabaran-cabaran kesihatan di Malaysia yang mendesak, termasuk peningkatan penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit (NCD), populasi masyarakat menua dan pertambahan penekanan ke atas perkhidmatan kesihatan mental.
Program ini diperkenalkan selaras dengan perkembangan pesat sektor penjagaan kesihatan di negara ini yang dijangka berkembang.
Pertumbuhan tersebut menunjukkan keperluan tinggi untuk profesional berkemahiran dalam mengatasi cabaran-cabaran penjagaan kesihatan yang kritikal.
Ditawarkan di bawah Pusat Pengajian Biosains, program sarjana muda tiga tahun ini menyediakan para pelajar dengan asas yang kukuh dalam sains kesihataan gunaan.
Kurikulumnya direka bagi melengkapkan pelajar dengan pengetahuan mendalam, kepakaran praktikal dan keupayaan penyelidikan untuk cemerlang dalam landskap penjagaan kesihatan dinamik.
Keistimewaan program ini terdiri daripada empat bidang pengkhususan, setiap satunya mengatasi cabaran kritikal kesihatan awam. Bidang pengkhususan itu merangkumi genetik, embriologi, neurosains dan pemakanan.
Program ini menggabungkan alat canggih seperti Jujukan Berulang antara Ruang Palindromik Pendek Bergugus Tetap (CRISPR), Antara muka Otak-Komputer (BCI), Pensenyawaan in vitro (IVF) dan teknologi penderiaan boleh pakai.
Ia mempersiap graduan untuk menangani cabaran moden penjagaan kesihatan.
Pelancaran program itu yang berlangsung di Universiti Taylor’s, Subang Jaya baru-baru ini dimeriahkan dengan pelbagai acara antaranya diskusi kesihatan dan lawatan ke fasiliti. Para media yang hadir dibawa melawat kemudahan-kemudahan yang akan digunakan oleh pelajar yang memilih untuk menyambung pengajian dalam program berkenaan.

Pengarah Program Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan, Dr. Lee Sau Har berkata, program itu direka bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang bukan sekadar menangani jurang dalam tenaga kerja penjagaan kesihatan di Malaysia, tetapi juga pakar dalam teknologi penjagaan kesihatan termaju dan mampu memacu inovasi dalam sektor ini.
Menurutnya, dengan menyepadukan alat-alat teknologi terkini, para pelajar memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi mengatasi cabaran penjagaan kesihatan moden.
“Di samping itu, kurikulum kami juga menggabungkan pengetahuan saintifik dengan kemahiran keusahawanan yang mampu memberikan pengalaman pembelajaran bersesuaian dan projek penyelidikan tertumpu seiring dengan pengkhususan mereka.
“Elemen-elemen ini membolehkan mereka mampu berhadapan dengan masalah kesihatan tertentu dan menyumbang kepada penyelesaian penjagaan kesihatan yang lestari di Malaysia dan luar negara,” katanya ketika majlis pelancaran program berkenaan.
Semasa pelancaran, panel pakar industri terdiri daripada Pengarah Invest Selangor-Pejabat Penyelaras Bioteknologi Selangor (S-BIOCO), Arieff Aaron Abdullah; Pengasas AGTC Genomics, Prof Dr. Leong Chee Onn dan Sau Har membincangkan landskap penjagaan kesihatan yang pesat berubah di Malaysia, menekankan kepentingan sains kesihatan gunaan dalam memenuhi keperluan bagi penyelesaian mampan dan inovatif.
Sementara itu, Dr. Chee Onn berkata, industri penjagaan kesihatan sedang melalui perubahan transformatif, didorong oleh kemajuan dalam teknologi terutamanya di dalam genomik, kecerdasan buatan (AI) dan perubatan ketepatan.
“Inovasi-inovasi ini mengubah cara diagnostik dan rawatan, tetapi juga menekankan keperluan tenaga kerja mahir yang dapat menggunakan teknologi ini bagi mengatasi cabaran penjagaan kesihatan yang kompleks dan menambah baik hasil bagi pesakit,” ujarnya.
Dalam pada itu, program tersebut juga diselaraskan dengan dasar-dasar utama termasuk Kertas Putih Kesihatan Malaysia dan Polisi Kebangsaan bagi Kualiti di dalam Penjagaan Kesihatan 2022-2026, sekali gus melengkapkan graduan untuk menyumbang kepada kelestarian penjagaan kesihatan secara keseluruhan.














