fbpx
ORANG ramai mengambil peluang cuti hujung minggu untuk melakukan persiapan hari raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semalam. – SADDAM YUSOFF

Jalan TAR masih ‘bernyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cuaca panas pada sebelah pagi di sekitar ibu negara semalam tidak mematahkan semangat orang ramai berpusu-pusu mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk membeli persiapan hari raya.

Tinjauan Kosmo! di lokasi tumpuan ramai tersebut mendapati, para pengunjung dilihat membawa ahli keluarga masing-masing seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelum ini.

Menurut salah seorang pengunjung, Nazirul Zakwan, 21, dia dan keluarganya yang tinggal di Hulu Langat, Selangor tetap setia datang membeli pakaian raya di situ setiap tahun.

“Seperti kita sedia maklum tahun lalu, kawasan Jalan Masjid India yang terletak berhampiran Jalan TAR ini pernah berlaku kejadian seorang wanita warga India hilang akibat tanah jerlus.

“Saya merasakan keadaan di sini selamat, jadi saya tidak ambil pusing (risau) sangat dengan kejadian tanah jerlus yang berlaku Ogos tahun lalu itu.

“Selain itu, saya juga yakin lokasi itu sudah dibaik pulih oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Farha Syahirah, 36, berkata, suasana di Jalan TAR mula meriah dan menerima kunjungan ramai ekoran keba­nyakan kedai-kedai menawarkan promosi serta tawaran cabutan bertuah yang menarik.

“Saya borong baju-baju anak dan suami tiap tahun di sini sebab senang boleh tengok dan pilih sendiri warna serta jenis fabrik. Promosi serta tawaran cabutan bertuah juga menarik selepas ada kedai tawarkan ha­diah kereta.

“Dalam pada itu, saya dan suami lihat kawasan ini dibanjiri orang ramai seperti biasa. Keyakinan orang berkenaan faktor keselamatan pula saya lihat adalah baik.
Jadi, tak perlu risau dah rasanya,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Aidil Zafran, 30, berkata, dia merasakan raya
bagaikan tidak meriah jika tidak dapat membuat persiapan lebih-lebih lagi mengunjungi lokasi po­pular tumpuan ramai itu.

“Sudah menjadi ‘tradisi’ kepada masyarakat di ibu negara serta negeri-negeri lain, andai mahu beli persiapan hari raya, Jalan TAR adalah syurganya.

“Bukan apa, di sini kita diberikan banyak pilihan, malah promosi yang ditawarkan juga adalah terbaik lebih-lebih lagi menjelang hari raya. Antara larat atau tidak sahaja untuk kita berjalan ke setiap gedung, kedai pakaian,” ujarnya berseloroh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN