TIDAK dinafikan, pemanduan go-kart merupakan antara aktiviti riadah yang menyeronokkan dan sesuai dilakukan bersama keluarga serta rakan-rakan.
Aktiviti go-kart juga menguji kepantasan pemain, selain menjadi ruang buat orang ramai untuk berjinak-jinak dengan dunia perlumbaan sebenar.
Membuka pintunya kepada pengunjung pada September 2024, LYL International Karting Circuit yang terletak di Monkeys Canopy, Sungai Long, Kajang, Selangor merupakan salah satu litar go-kart yang terkenal di Malaysia, malahan juga sehingga ke peringkat antarabangsa.
Selain menawarkan kemudahan bertaraf antarabangsa untuk acara sukan go-kart dan sukan permotoran, lokasi itu turut diiktiraf sebagai litar go-kart terpanjang di Asia.
Pengurus LYL International Karting Circuit, Siti Shahkirah, 31, memberitahu, litar tersebut direka untuk memberi pengalaman yang menakjubkan kepada para pelumba, sama ada yang baru bermula atau yang berpengalaman.
“Dengan reka bentuk yang moden, ia menawarkan enam jenis litar iaitu International (panjang 1.5 kilometer), National (1.4 kilometer), Selangor (1.3 kilometer), Velocity (1.1 kilometer), Sprint (0.8 kilometer) dan Rapid (0.6 kilometer).
“Setiap litar direka dengan mempertimbangkan keselamatan dengan permukaan jalan yang baik dan perlindungan di sepanjang trek,” kongsinya kepada CitaRasa.

Sejak dibuka, LYL International Karting Circuit telah menjadi lokasi utama bagi acara go-kart tempatan dan antarabangsa, termasuk IAME ASIA SERIES, ROK CUP ASIA SERIES dan pertandingan-pertandingan sukan permotoran lain.
Litar ini juga menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti latihan pelumba profesional kerana keupayaannya menyediakan suasana yang sesuai bagi meningkatkan kemahiran dan teknik dalam karting.
Selain daripada menjadi lokasi penganjuran perlumbaan, premis itu juga menyediakan perkhidmatan sewa go-kart untuk orang awam. Ini membolehkan sesiapa sahaja, sama ada pemula atau yang berpengalaman untuk merasai keseronokan dan cabaran berlumba di litar bertaraf antarabangsa.
Tambah Siti Shahkirah, pihaknya menawarkan tiga jenis go-kart iaitu iaitu 270cc yang lebih sesuai untuk pemain amatur, 390cc sesuai untuk pelumba yang berpengalaman dan juga tandem (go-kart yang sesuai untuk dinaiki dua orang).
Mengulas tentang keunikan yang ditawarkan oleh LYL International Karting Circuit berbanding litar sedia ada lain, Siti Shahkirah memberitahu, litar itu sesuai untuk pelumba daripada pelbagai peringkat.

“Selain litar yang menarik, kami juga menawarkan kemudahan lengkap, termasuk kawasan rehat untuk penonton, ruang untuk acara korporat dan kemudahan rekreasi yang menjadikannya sesuai untuk aktiviti keluarga, acara korporat serta latihan profesional.
“Tambahan pula, lokasi ini juga terletak di Monkeys Canopy, sebuah kawasan rekreasi yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
“Monkeys Canopy adalah destinasi yang sesuai untuk keluarga dan kumpulan dengan suasana semula jadi yang tenang, sekali gus menjadikannya tempat yang ideal untuk melarikan diri dari kesibukan kota seketika,” jelasnya.
Siti Shahkirah turut berkongsi tip kepada pengunjung, khususnya bagi mereka yang baru pertama kali mahu mencuba aktiviti go-kart.
“Sebagai pengunjung pertama kali, kami amat mengesyorkan agar anda membuat tempahan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kekecewaan kerana lokasi ini kerap dipenuhi peminat aktiviti go-kart.
“Selain itu, kami juga menasihatkan agar anda memakai pakaian yang selesa dan sesuai untuk aktiviti sukan seperti ini supaya dapat bergerak dengan bebas sepanjang sesi pemanduan.
“Di sini, keselamatan anda adalah keutamaan kami. Oleh itu, kami menyediakan ‘full faced helmet’ yang wajib dipakai oleh semua peserta untuk memastikan perlindungan yang optimum semasa aktiviti pemanduan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Siti Shahkirah menasihatkan orang ramai agar jangan risau dan ragu-ragu untuk mencuba aktiviti pemanduan go-kart.














