LONDON – Aprilia Racing enggan mengambil risiko menurunkan Jorge Martin terlalu awal meskipun juara bertahan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu sudah tidak sabar untuk kembali ke litar sejurus pembedahan dilakukan baru-baru ini.
Juara dunia musim lalu itu kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan serius pada tulang tangannya serta kecederaan kaki akibat insiden ‘highside’ ketika ujian pramusim di Sepang bulan lalu.
Kecederaan yang menimpa Martin menyebabkan pelumba Sepanyol itu turut terlepas pusingan kedua perlumbaan musim ini di Argentina pada 14 hingga 16 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola berkata pasukan enggan mengambil keputusan terburu-buru mengenai kepulangan pelumba berusia 27 tahun itu.
“Menurut nasihat pakar, pembedahan berjalan dengan baik, jadi kami kekal positif. Namun, buat masa ini, kami tidak mahu tergesa-gesa menurunkannya. Kesihatannya adalah keutamaan,” kata Rivola.
Pelumba Ducati, Marc Marquez turut menasihati Martin agar tidak memaksa dirinya kembali ke litar perlumbaan lebih awal.
Marquez kini mendahului kejuaraan dengan 37 mata selepas memenangi aksi pembuka tirai Grand Prix (GP) Thailand di Buriram minggu lalu, memberikan tekanan besar kepada Martin yang bakal ketinggalan jauh.
Lebih mencabar, apabila kembali nanti, Martin harus segera menyesuaikan diri dengan jentera Aprilia tanpa persiapan pramusim yang mencukupi. – AGENSI