fbpx
Tidak semua lagu Arab dalam sesuatu majlis adalah selawat dan tidak semua kata-kata Arab merupakan doa.

Bukan semua lagu Arab bermaksud doa, selawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dewasa ini, sekecil-kecil perihal mudah menjadi perbualan khalayak di laman atau gelanggang media sosial. Sebesar-besar perkara juga mudah dianggap enteng dengan kemajuan dunia digital dan teknologi.

Di gelanggang TikTok terutamanya, banyak perkara yang mula dijadikan amalan sedangkan kalau tersilap langkah, mampu menghakis iman dan pegangan akidah seseorang yang bergelar Muslim.

Misalnya di Indonesia, ramai manusia di sana dengan mudahnya melaungkan lagu atau kata-kata dalam melodi bahasa Arab tanpa mengetahui maksud apa yang dibutirkan di bibir.

Ada yang kononnya ‘berselawat’, namun sebenarnya apabila dilakukan sedikit kajian apa yang dilagukan sebenarnya adalah pujian berunsurkan agama lain atau perihal tidak sepatutnya.

Hanya kerana dilagukan dalam bahasa Arab, semuanya ‘dibolehkan’ rakyat negara seberang.

Seorang pempengaruh bernama Fatimah Jamal yang berketurunan Arab berkata, selawat adalah perkara yang disifatkan sebagai kejutan budaya terutama apabila dia berada di Indonesia.

“Salah satu culture shock (kejutan budaya) bagi orang Arab yang pernah berada di Indonesia adalah selawat. Sejujurnya, selawat tidak mengapa tetapi lagu-lagu yang diguna pakai.

“Mereka (kebanyakan orang Muslim Indonesia) menggunakan lagu Arab apa adanya (tanpa memahami maksudnya).

“Mereka fikir, semua lagu Arab adalah doa. Semua kata-kata Arab adalah doa yang perlu diaminkan,” kata Fatimah dalam media sosialnya.

Sebagai contoh, ada sebuah lagu yang popular di Indonesia dilazimkan sebagai selawat di majlis ilmu, namun di Mesir lagu tersebut menceritakan tentang sepasang kekasih yang mencintai antara satu sama lain.

Benar, junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW diutuskan di tanah Arab menegakkan syiar Islam sehingga agama tersebar luas di seluruh dunia.

Sungguhpun begitu, tidak semua di tanah bertuah tersebut menganut agama Islam. Ada yang berpegang kepada ajaran Kristian, Yahudi dan sebagainya, namun masih fasih berbicara atau ‘mengalunkan’ kata-kata dalam bahasa Arab.

Fatimah yang fasih berbahasa Indonesia menegaskan, tidak semua lagu Arab adalah selawat yang perlu dilazimkan di bibir.

“Tidak semua lagu Arab adalah selawat dan tidak semua kata-kata Arab adalah doa,” katanya.

Tidakkah bingung kepala kita yang melihat sekumpulan lelaki di majlis ilmu siap berkopiah melaungkan lagu Enta Eih nyanyian penyanyi seksi Arab sedangkan realitinya, karya tersebut di Mesir menceritakan perihal bersifat lagha? Tepuk dada, tanyalah selera.

Itu belum lagi masuk bahagian Muslim mengalunkan lagu dalam bahasa Arab, namun disebabkan mudah terpengaruh atau cetek agama, apa yang dilaungkan sebenarnya doa atau pujian untuk Tuhan agama lain. Astaghfirullahalazim.

Sifirnya di sini mudah, janganlah kita terlalu memandang tinggi masyarakat di luar sana. Keropok lekor jangan dilazimkan dimakan bersama dengan sos keju.

Mat salih atau orang putih datang mencari rezeki di Malaysia, usahlah diagung-agung sepertinya mereka majikan kita sampai kiamat.

Itu epitome agar negara terus bergerak maju dan tidak terkancah sebarang anasir yang lucu, namun pada masa sama, berpotensi menyesatkan.

Bersama-sama kita menjaga iman dan Ramadan merupakan madrasah terbaik untuk melatih kerohanian supaya keyakinan semakin menebal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN