Batang Rambungan merupakan sebuah sungai yang menyusur keluar ke Laut China Selatan dan terletak kira-kira 30 minit hingga ke 45 minit masa perjalanan dari bandar raya Kuching.
Secara peribadi, pelbagai spesies ikan pernah saya naikkan di sungai ini termasuk siakap putih, siakap merah, kerapu, senangin, kurau, gerepoh, merah tanda, baji, pari dan edisi terbaharu saya adalah ikan kaci hitam atau dikenali sebagai siakap batu di sesetengah tempat.
Kami menggunakan perkhidmatan bot sewa di Kampung Jaya Bakti. Kebiasaannya, ikan siakap putih atau lebih dikenali di Sarawak sebagai ikan ‘selunsong’ akan menjadi target utama untuk aktiviti mengilat. Ikan spesies lain pula merupakan hasil sampingan jika ia tertarik dengan gewang yang digunakan untuk siakap putih.
Dalam masa dua minggu, dengan tiga trip berlainan, saya berjaya menemukan dan menaikkan sekumpulan ikan selunsong di Batang Rambungan.
Mungkin waktu trip tersebut betul-betul kena dengan keadaan air dan arus yang cantik. Skala saiz tangkapan adalah dari 500 gram sehingga yang terberat tujuh kilogram (kg).
Siakap putih
Selunsong juga digelar Barramundi di luar negara dengan nama saintifiknya, Lates calcarifer cukup digemari oleh pemancing di seluruh dunia. Kelincahannya saat hook-up cukup digeruni dengan pecutan dan lompatan yang mampu menewaskan pemancing.
Pada waktu aktif selunsong, tidak kira apa jenis umpan atau gewang yang digunakan, pasti akan mendapat sambaran.
Selain gewang selaman dalam bersaiz 75 milimeter (mm), kami turut mendapatkan sambaran dengan menggunakan beberapa jenis soft plastic daripada pelbagai jenama.
Gewang selaman sesuai untuk aktiviti menunda (trolling), manakala soft plastic yang kalis sangkut paling sesuai dimainkan di kawasan reba.
Selunsong yang bersaiz 1kg ke bawah biasanya bergerak dalam kumpulan besar.
Belasan ekor selunsong di bawah 1kg berjaya kami naikkan dalam tiga trip yang berbeza selama dua minggu tersebut. Selain itu, ada dua ekor yang bersaiz lebih kasar dengan berat 4kg dan 7kg.

Kaci hitam
Ikan ini selalu disalahnamakan oleh pemancing sebagai ikan kuku atau bream, kuku hitam dan black bream.
Merujuk kepada rakan pancing yang lebih berpengalaman, ikan yang pada mulanya secara gurauan saya gelarkan ‘Ning Baizura’ ini sebenarnya adalah daripada keluarga ikan kaci iaitu sweetlips.
Di sesetengah negara, spesies ini dikenali sebagai brown sweetlips atau black sweetlips dengan nama saintifiknya Plectorhinchus gibbosus. Di sesetengah negeri di Malaysia, ada juga yang memanggilnya sebagai siakap batu atau kakap batu.
Melalui pengamatan saya, mengikut profil bentuk badan dan bibirnya yang tebal lebih menyerupai spesies sweetlips iaitu kaci. Setelah mencari rujukan di laman sesawang, saya berjaya menemukan beberapa rujukan dengan bukti bergambar yang menyatakan ia sebagai brown sweetlips dan sesetengah tempat dikenali dengan black sweetlips. Jadi, ia lebih sesuai jika digelar atau dipanggil sebagai kaci hitam.
Di Batang Rambungan, kami berjaya menaikkan empat ekor semuanya di dalam trip selama dua hari berturut-turut pada lokasi sama dengan kedalaman sekitar 20 ke 30 kaki (6-9 meter). Ia lebih tertumpu di kawasan yang berbunga karang yang dalam.
Setelah bertahun-tahun mengilat di Batang Rambungan, ini adalah pertama kali kami menemui spesies kaci hitam di sini. Mungkin secara kebetulan atau ia masuk ke muara sungai untuk bertelur. Kami tidak pasti.
Namun yang pasti, kami berjaya menaikkannya dengan menggunakan gewang soft vibe dan jig.
Saiz yang kami dapat juga cukup kasar iaitu sekitar dua ke 2.6kg. Tarikan dan pecutannya juga cukup kuat pada kedalaman tersebut.
Sungguh mengasyikkan dan semoga kami berjaya menjejak spesies ini lagi pada masa hadapan.














