DALAM arena sengit Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman membuktikan dirinya layak digelar sebagai salah satu pemain terhebat dunia.
Pada tahun 2024, atlet berusia 19 tahun tersebut berjaya mengukuhkan statusnya sebagai jungler yang digeruni dunia bersama pasukan legenda Selangor Red Giants (SRG).
Pemuda yang lebih mesra dengan nama panggilan ‘Sekys’ itu dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dalam perlawanan akhir (Finals MVP) di kejuaraan di MLBB Mid Season Cup di Boulevard Riyadh City, Arab Saudi.
Kemenangan bersama SRG itu bukan sahaja melonjakkan nama Malaysia di pentas dunia, malah memperoleh hadiah kemenangan sebanyak AS$1,000,000 (RM4,462,000).
Selain itu, Sekys turut memainkan peranan penting dalam kemenangan Malaysia di Kejohanan Dunia Esukan International Esports Federation (IESF) 2024 di Riyadh.
Pada kejohanan itu, Malaysia berjaya menewaskan pasukan gergasi MLBB iaitu Filipina dengan keputusan 2-0 sekali gus membawa pulang hadiah AS$70,000 (RM312,340).
Pencapaiannya tidak terhenti di situ, Sekys dan SRG meraih tempat ketiga pada Kejohanan Dunia M6 2024 di Kuala Lumpur dan membawa pulang hadiah AS$90,000 (RM401,500).
Sementara dalam saingan Mobile Legends: Liga Profesional Bang Bang (MPL) Malaysia Musim 14, anak jati Terengganu itu terus menjadi tunjang kejayaan SRG dalam liga kebangsaan.
Mengimbau penglibatannya dalam dunia permainan video pada usianya lima tahun, Sekys bermain permainan video di komputer riba 1Malaysia yang diterima oleh kakaknya.
“Abang saya muat turun permainan DOTA 1 :World of Warcraft di dalam laptop kakak saya dan di situ permulaan saya mengenali dunia permainan video.
“Kemudian ketika darjah satu, saya sering mengunjungi kafe siber untuk bermain permainan First-Person Shooter (tembak menembak).
“Melihat minat saya terhadap permainan video, abang kenalkan saya dengan DOTA 2 yang boleh dimainkan dalam peranti mudah alih,” katanya kepada K-Remaja.
Peralihannya ke dalam dunia MLBB bermula setelah Sekys memiliki telefon bimbit sendiri dan mendapati bahawa permainan tersebut lebih mudah dimainkan berbanding DOTA 2.
Bukan itu sahaja, MLBB turut membuka mata bekas pemain Homebois Academy itu terhadap peluang menjana pendapatan tambahan untuk membantu keluarganya yang ketika itu berdepan kesulitan kewangan.
Setelah mempelajari tentang perkhidmatan rank boosting atau ‘joki’, anak bongsu kepada tiga beradik itu mengambil untuk pelanggan pertamanya iaitu seorang wanita dari Indonesia yang menjanjikan bayaran RM2,000.
Namun, malang bagi remaja yang ketika itu masih di tingkatan satu, wanita itu menghilangkan diri tanpa membuat sebarang bayaran setelah mencapai tahap yang diinginkan.
Kecewa dengan kejadian tersebut, Sekys berkongsi pengalamannya di media sosial.

Tanpa disangka, pendedahan itu membuatkan ramai orang mahu menggunakan perkhidmatan ‘joki’ yang diusahanya.
Dari situ, dia berjaya menjana pendapatan sebenar, memperoleh sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan bergantung pada jumlah pelanggan yang dimilikinya.
Tambah Sekys, perjalanannya berkembang daripada permainan kasual ke tahap separa profesional ketika di tingkatan dua apabila seorang penstrim MPL merekrutnya untuk menyertai pasukan mereka iaitu Cicaraga.
Lepas Cicaraga, Sekys sempat menyertai pasukan On Air Esport dan memenangi Tournament The Academy sekali gus direkrut untuk bermain di bawah Homebois iaitu The Academy.
“Saya berpindah dari Terengganu ke Johor Bahru ketika di tingkatan ketiga untuk menyertai The Academy untuk bermain di peringkat separa profesional.
“Pada usia 16 tahun, saya layak ke MPL dan berpindah lagi ke Kota Kemuning, Selangor ketika masih belajar di tingkatan empat dan lima,” katanya yang turut sempat menyertai pasukan Elux Esports selama setahun.
Untuk pengetahuan, MLBB merupakan permainan mudah alih berasaskan strategi masa nyata bergenre Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) yang dibangunkan oleh Moonton.
Permainan tersebut menyaksikan dua pasukan yang terdiri daripada lima pemain dalam misi untuk menghancurkan pangkalan lawan sambil mempertahankan kawasan mereka sendiri.
Peta dalam MLBB terdiri daripada tiga lorong utama iaitu Lorong Atas (EXP Lane), Lorong Tengah (Mid Lane) dan Lorong Bawah (Gold Lane) serta Jungle yang merupakan kawasan di antara lorong-lorong ini.
Setiap pasukan memiliki lima pemain dengan tugas berbeza iaitu EXP laner, gold laner, mid laner, jungler dan roamer atau tank.
Selain Sekys, SRG turut disertai oleh Mark Genzon Rusiana (Kramm), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes), Vincent Banal (Innocent), Mohd Norhadim Mohamad Rizwan (Stormie) dan Muhammad Suhairi (Yums).
Mendapat sumber inspirasi daripada pemain Filipina yang bermain bersama pasukan Indonesia iaitu Kairi, Sekys menggunakan peperangan psikologi sebagai strategi dalam permainan.
“Saya tidak ada strategi khusus untuk perlawanan kerana bergantung pada situasi semasa, tetapi saya selalu menggunakan ‘aura’ daripada pencapaian lalu untuk keyakinan diri.
“Ini kerana pihak lawan sering kali berasa gentar apabila mengetahui bahawa pasukan kami baru sahaja menjuarai acara utama dan itu kelebihan yang kami manfaatkan,” katanya.
Bercakap soal sasaran tahun ini, Sekys berharap dapat membantu SRG untuk mengekalkan status sebagai juara bertahan untuk MLBB Mid Season Cup dan MPL.
Sementara itu, bagi sasaran peribadi, Sekys turut berharap membawa pulang pingat emas Sukan SEA 2025 di Thailand pada hujung tahun nanti.
Katanya, cabaran untuk Sukan SEA yang akan disertainya buat pertama kali itu lebih besar kerana dia akan digabungkan dengan pemain Malaysia dari pasukan lain.
“Tidak seperti kelab SRG yang memiliki pemain import, wakil Malaysia ke Sukan SEA nanti akan menggabungkan semua pemain tempatan yang saya belum lagi tahu keserasiannya.
“Lagipun, dalam arena MLBB, Filipina merupakan negara dengan pasukan yang kuat. Oleh itu, kami berharap dapat cipta kejutan dengan bawa pulang emas nanti,” ujarnya.














