RAMAI golongan ibu yang teruja menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga. - GAMBAR HIASAN

Konon nak masak sudahnya terbeli juga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAMAT datang Ramadan, bulan mulia penuh keberkatan. Alhamdulillah, hari ini genaplah tiga hari umat Islam berpuasa.

Rata-rata nampak cukup bersemangat, apatah lagi golongan ibu yang teruja menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga. Masing-masing rancak menyusun menu buat insan tersayang sepanjang 30 hari berpuasa.

Sebut soal menu Ramadan, kemunculan Khairul Aming paling dinantikan. Perkongsian juadah pempengaruh yang terkenal dengan tagline ‘Hey what’s up guys’ itu menjadi rujukan ramai termasuklah para ibu, anak muda dan peniaga.

Mereka yang hebat di dapur pun teruja nak tahu apa menu istimewa bakal dikongsi. Hebat sungguh penangan Khairul Aming!

Menariknya, kali ini anak jati Kelantan itu bukan kembali dengan 30 juadah tetapi 60 resipi istimewa berbuka dan sahur untuk peminatnya.

Sehari sebelum puasa dia sudah kongsi enam menu sahur dan empat jenis air untuk berbuka puasa. Menunya ringkas, bahan pun tak banyak, malah masa penyediaannya juga singkat. Sangat praktikal.

Sebagai bonus, Khairul Aming turut menghadiahkan peminatnya Oman Travel Siries iaitu program masakan sambil meneroka keunikan budaya serta keindahan Oman.

Perkongsian menu pencipta kandungan popular Che Sayang, Limau Nipis, Hamdan Mubarak dan pelakon Sheila Rusly juga antara ditunggu ramai.

Tidak ketinggalan program masakan di beberapa saluran televisyen, antaranya Menu Sihat Ramadan kendalian Chef Anis Nabilah, Dapur Goodday Misi Sarimah & Tuyah dan Rasa Ajar Masak boleh dijadikan panduan ramai untuk penyediaan juadah berbuka puasa.

Menu sudah ada, bahan pun kenalah beli. Teringat pula suasana Sabtu lalu. Pasar borong, pasar raya dan kedai runcit sesak dengan orang ramai yang mahu buat persediaan sambut Ramadan.

Laku keras ayam, daging, hasil laut, sayur-sayuran dan bahan keperluan dapur lain. Sekali pandang macam mahu sambut raya orang membeli.

Beli jangan tak beli abang kakak tapi pastikan masak. Kadang-kadang, teruja tengok perkongsian menu enak dalam media sosial dan televisyen terlajak seronok membeli.

Pendek kata semua resipi nak cuba tetapi bila masuk dapur tiba-tiba terdetik dalam hati ‘esok jelah’, ‘tak sempat’, ‘tak larat’ dan 1,001 lagi alasan.

Sudahnya bahan-bahan yang dibeli ‘mengeras’ dalam peti sejuk beku dan tersimpan dalam kabinet sampai lepas tarikh luput. Siapa ada perangai macam ini baik mengaku!

Kalau rasa ada penyakit ‘malas’ atau cenderung ke bazar Ramadan daripada masak sendiri, cubalah rajinkan diri kali ini. Sayang, bahan sudah ada takkan nak dibiarkan sahaja. Mana tahu ini jadi permulaan untuk anda lebih hebat daripada Khairul Aming dan pempengaruh masakan lain? Tak cuba tak tahu kan.

Namun, jika setiap tahun rutin anda asyik ulang-alik ke bazar Ramadan walaupun dah pasang niat nak masak, tak perlulah beria-ia beli barang basah. Tak baik membazir.

Akhir kata, selamat berpuasa. Semoga segala amal ibadah kita diterima Allah SWT. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN