Oleh ALANI NIZAM
PETALING JAYA – Bulan Ramadan sepatutnya menjadi medan mendidik jiwa dan bukannya makan sehingga dilabelkan sebagai melahap terutama kepada mereka yang berbuka di bufet Ramadan.
Seorang pengguna Facebook, Zainuddin Omar berkata, dia pernah melihat gelagat pelanggan bufet Ramadan yang sudah memunggah makanan di atas meja hingga menggunung sementara menunggu azan maghrib.
“Masing-masing bersiap sedia untuk melahap seolah-olah perut mereka mampu menampung 10 kilogram makanan, walhal hakikatnya perut kosong itu hanya sebesar genggaman tangan.
“Apabila azan berkumandang, mereka makan dengan rakus seperti harimau kelaparan,” katanya.
Tambah beliau, bulan Ramadan sepatutnya menjadi madrasah mendidik jiwa namun akhirnya tewas kepada nafsu melahap makanan.
Tinjauan di ruang komen mendapati orang ramai turut meluahkan pengalaman mereka berbuka puasa di bufet Ramadan yang dikatakan tidak berbaloi.
“Saya tak akan pergi bufet Ramadan melainkan event company sahaja. Nak book sendiri tidaklah. Sampai RM200 seorang. Nak beratur, suasana terlalu ramai, dan bila berbuka kitanya bukan makan banyak pon. Tak berbaloi,” ujar netizen.
“Pembaziran, harga melampau tinggi, makan ikut nafsu,, saya red flag bufet ramadan dah lama,” ujar seorang lagi pengguna.
“Memang membazir dan sangat melampau harganya,” keluh pengguna.
“Sebab harga bufet Ramadan makin mencanak, jumlah menu pun melampau, so tahun ni tak nak pergi dah. Sangat membazir dan menyukarkan untuk beribadah. Waktu maghrib pun singkat,” balas seorang lagi pengguna.
Setakat ini, hantaran tersebut telah menerima lebih 2,000 tanda suka, 174 komen dan 236 perkongsian. – KOSMO! ONLINE














