DALAM dunia sukan yang kompetitif, kegagalan untuk mencapai tahap tertinggi dalam satu disiplin sering dianggap penamat kerjaya seorang atlet.
Namun, perspektif ini semakin berubah apabila peralihan sukan mula diperkenalkan sebagai satu mekanisme untuk memastikan bakat atlet tidak disia-siakan begitu sahaja.
Peralihan ke arah mencari hala tuju baharu dalam sukan berbeza perlu difikirkan terutama ibu bapa bagi menggerakan anak mereka ke sesuatu disiplin baharu yang lebih sesuai dengan bakat.
Beberapa atlet telah membuktikan bahawa peralihan sukan bukan sahaja praktikal, malah boleh membawa kejayaan yang lebih besar.
Datuk Lee Chong Wei, bermula dengan bola keranjang sebelum menemui bakat luar biasa dalam badminton dan akhirnya menjadi legenda dunia dalam sukan tersebut.
Begitu juga Tan Cheong Min, yang pada asalnya bermain badminton sebelum beralih ke wushu dan kini merupakan antara atlet elit dalam sukan tersebut selain menempah nama di kejohanan dunia.
Bagi penulis, kisah-kisah kejayaan seperti ini menunjukkan bahawa perubahan disiplin sukan bukanlah satu langkah ke belakang, sebaliknya satu peluang baharu untuk mencapai kecemerlangan.
Namun, peralihan sukan masih menghadapi cabaran besar terutama dari segi mentaliti ibu bapa, jurulatih dan atlet.
Atlet cenderung untuk berpegang teguh pada satu disiplin tanpa mempertimbangkan kemungkinan lain, sedangkan keupayaan mereka mungkin lebih sesuai untuk sukan yangberbeza.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyuarakan kepentingan sistem ini dengan menekankan bahawa usaha dan latihan yang telah dilalui oleh atlet tidak sepatutnya berakhir hanya kerana mereka tidak berjaya dalam sukan asal mereka.
“Kita tidak mahu atlet yang telah berlatih bertahun-tahun akhirnya meninggalkan dunia sukan hanya kerana mereka tidak berjaya dalam sukan asal mereka.
“Kita mahu memberikan laluan kepada mereka untuk terus berkembang, mungkin dalam sukan yang lebih sesuai dengan kekuatan dan kebolehan mereka,” katanya.
Hannah turut menegaskan, langkah ini telah mula diterapkan menerusi kerjasama antara Akademi Rhythmic Excellence dan Akademi Terjun untuk memberi peluang kepada atlet gimnastik untuk beralih ke sukan terjun.
“Kita sudah melihat bagaimana Lee Chong Wei dan Tan Cheong Min berjaya dengan peralihan sukan mereka. Saya mahu atlet muda dan ibu bapa melihat bahawa kegagalan dalam satu sukan bukanlah pengakhiran. Sebaliknya, ia adalah peluang untuk menemui potensi sebenar mereka dalam sukan lain yang lebih sesuai,” tambahnya.
Oleh itu, pelaksanaan sistem ini memerlukan penglibatan lebih banyak pihak, termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan terutama menyediakan platform yang membolehkan atlet mencuba pelbagai disiplin sebelum memilih sukan yang paling sesuai.
Justeru, penulis menganggap mungkin inilah masanya untuk Malaysia memberi perhatian lebih serius terhadap peralihan sukan kerana jika dilaksanakan dengan sistematik, ia boleh menjadi strategi utama dalam pembangunan atlet negara dan membantu Malaysia melahirkan lebih ramai juara bertaraf dunia.















