fbpx

MHL: THT rampas kejuaraan daripada TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMENANGAN ke atas Stingers memastikan THT merampas kejuaraan liga daripada TNB. - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengubat kekecewaan musim lalu apabila berjaya merampas gelaran Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas membenam cabaran Territory Stingers.

Pada aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil sebentar tadi, pasukan dari Pantai Timur itu tidak berdepan kesukaran apabila mudah menewaskan Stingers 4-1.

Lebih menakjubkan, perlawanan itu turut menyaksikan penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari menampilkan aksi memukau apabila menjaringkan keempat-empat gol bagi menghadiahkan kejuaraan ketujuh buat THT.

Jurulatih THT, Mohd. Harfizi Baharom berkata, beliau bersyukur dengan kemenangan itu memandangkan anak-anak buahnya sudah memberikan segala-galanya sepanjang saingan musim ini sehingga mengekalkan rekod bersih dalam sembilan perlawanan.

FAIZAL (tengah) terus menunjukkan sentuhan berbisa apabila meledak empat jaringan menentang Stingers. – AMIR KHALID

“Alhamdulillah untuk perlawanan hari ini kerana pemain-pemain kita memang sudah bersedia dari segi mentaliti. Ini adalah perlawanan yang menjadi peluang untuk kita mengubati kekecewaan musim lalu.

“Pemain-pemain menggunakan peluang dengan baik dan mereka bermain bermati-matian pada hari ini bagi mendapatkan piala liga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sebagai rekod, kali terakhir THT meraih kejuaraan liga adalah pada kempen 2023 di mana mereka muncul juara buat kali keenam sebelum gelaran itu dirampas Tenaga Nasional Berhad (TNB) musim lalu.

Kemenangan itu juga memastikan THT meraih gelaran berganda pada saingan musim ini selepas turut memenangi Piala Sumbangsih dan berpeluang merangkul trebel menjelang saingan Piala TNB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI