KUANTAN – Beberapa barangan kemas dikatakan bernilai puluhan ribu ringgit milik mangsa pembunuhan kejam, Norshamira Zainal, 37, dilaporkan hilang dipercayai dilarikan suspek.
Ia susulan penemuan mayat peniaga wanita itu yang mayatnya dijumpai di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada pukul 12.45 tengah hari kelmarin.
Mangsa dijumpai selepas 17 jam dilaporkan hilang ketika keluar rumah pada pukul 7.30 malam, Rabu lalu untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang menjadi suspek kes tersebut.
Mayat Norshamira dijumpai sekumpulan lelaki termasuk suami dan bapa mentuanya yang datang mencari sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Katanya, pemeriksaan menemui kesan jenayah pada tubuh badan di mati.
“Kita telah mengenal pasti suspek berusia 37 tahun yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
















