TANJUNG MALIM – Seorang ibu tunggal, Habibah Yaakob, 62, telah menderma lebih 10,000 barangan keperluan persekolahan secara percuma kepada golongan memerlukan di Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barangan Kitar Semula di Taman Bandar di sini yang diasaskan olehnya.
Katanya, pusat yang ditubuhkan itu kini banyak menerima kunjungan orang ramai terutama golongan B40 yang terbeban kos yang tinggi bagi membeli barangan persekolahan anak-anak mereka.
“Saya secara konsisten membantu kira-kira 8,000 ibu bapa atau orang susah yang kekurangan sumber kewangan bagi membeli keperluan persekolahan seperti pakaian seragam, pakaian sukan, pakaian uniform dan pakaian sekolah agama, selain tudung, kasut, stoking dan beg,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, konsep yang dia terapkan ialah menerima barangan persekolahan sumbangan orang ramai terutamanya penduduk Tanjung Malim dan diserahkan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya fikir anak-anak mereka telah habis bersekolah atau beralih tahap pengajian yang menyebabkan pakaian itu diserahkan.
“Bagi saya, tiada limitasi jumlah barangan persekolahan yang boleh diambil cuma sebaiknya bergantung kepada keperluan semasa supaya tidak membazir,” katanya.
Katanya, dia akan mengasingkan barangan yang tidak boleh digunakan bagi memastikan yang masih boleh berkualiti sahaja diberikan kepada penerima tanpa mengira kaum.
Katanya, idea untuk menubuhkan pusat itu disebabkan tersentuh dengan seorang kenalan yang merupakan ibu tunggal runsing kerana tidak mampu membeli barangan
persekolahan anaknya beberapa tahun lalu.
Kenalan itu katanya, meminta pertolongannya dan dari situ bertekad menubuhkan pusat ini.
“Realiti sekarang kos untuk menyediakan keperluan persekolahan mencecah RM400 bagi seorang anak,” katanya.














