GUA MUSANG – Lebih 400 penduduk Orang Asli yang tinggal berdekatan Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini, mendakwa pembukaan kebun berhampiran penempatan mereka telah menjadi punca berlakunya hakisan tanah sehingga sungai menjadi cetek dan berlumpur.
Penduduk mendakwa, aliran tanah dan air yang membawa pasir menyebabkan Sungai Jalgek menjadi cetek sejak lebih setahun lalu selain mengakibatkan banjir kilat yang menenggelamkan jalan keluar dan masuk ke perkampungan itu.
Penghulu Kampung Mendrod, Alang Busu berkata, tanah lumpur dari kawasan kebun didakwa telah memasuki sungai sehingga kawasan tersebut dipenuhi pasir.
Katanya, sungai berkenaan bukan sahaja hampir kering, malah sumber ikan turut pupus.
“Sejak pemaju membangunkan kebun di penempatan kami, penduduk Orang Asli menerima kesan buruk termasuk berlakunya kejadian banjir kilat.
“Apabila cuaca hujan, sisa tanah, pokok kayu dan sisa kebun dibawa terus ke dalam sungai. Kita dapati pembetung jalan tidak mampu menampung kuantiti air sehingga berlaku banjir kilat kerana banyak pasir dan tanah,” katanya.
Seorang penduduk, Saad Alus, 50, pula berkata, penduduk sebelum ini bimbang dengan beberapa projek kebun sayur dan ladang durian musang king yang diusahakan di kawasan berhampiran kampung.
Katanya, kejadian banjir kilat dan sungai berpasir sebelum ini tidak pernah berlaku di kampung mereka.
“Penduduk telah membuat bantahan, namun pembukaan kebun tetap diteruskan.
“Jika berlaku banjir kilat, kita terpaksa tunggu sehingga air surut. Masalah itu menyebabkan aktiviti harian penduduk seperti keluar ke bandar dan menghantar anak ke sekolah terhalang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, penduduk sudah menyuarakan kebimbangan dengan pembukaan tanah pertanian kerana dilihat memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka.
Katanya, dakwaan penduduk juga ternyata benar dan berharap pihak-pihak terlibat dapat bertanggunggungjawab termasuk membersihkan aliran sungai agar perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang.














