fbpx
Awal pagi merupakan antara waktu terbaik untuk memburu siakap putih di Pulau Pinang.

Tip mengilat siakap Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Antara spesies yang menjadi kegemaran saya adalah siakap putih, Lates calcarifer atau lebih dikenali sebagai ‘siakap bongkok’ oleh nelayan tempatan. Isinya yang enak, daya juang kuat serta aksi akrobatiknya mendebarkan sememangnya menjadi igauan pemancing.

Spot berpotensi

Saya sememangnya anak jati Pulau Pinang dan berasal dari Teluk Kumbar. Memancing menggunakan gewang secara menebing (land based) merupakan aktiviti utama saya dan sering mengilat di serata kawasan berproduktif di pulau bertuah ini.

Bagi mengenal pasti lokasi me­nebing yang berpotensi, saya biasanya akan memerhati terlebih dahulu pergerakan kumpulan ikan belanak atau udang. Jika ada sambaran ikan pemangsa, akan kelihatan kumpulan belanak atau udang bertempiaran di permukaan air.

Terus lokasi tersebut akan diuji dengan gewang. Semasa memainkan gewang, jika saya terasa ada struktur berbatu di dasar, itu petanda kebarangkalian saya berada di kawasan yang sesuai amatlah tinggi.

Target saya sudah tentu ikan siakap putih bersaiz kasar, namun tahap kesabaran yang amat tinggi diperlukan, begitu juga dengan pemilihan jenis gewang dan rentak permainan bersesuaian.

Spesies ikan ini agak pasif le­bih-lebih lagi jika bersaiz kasar dan ia gemar menunggu mangsanya di sebalik struktur di dasar yang menjadi kubunya berbanding tidak tentu hala mengejar makanannya tanpa mengira masa.

Senjata

Peralatan yang saya gunakan adalah joran Rentaka Blackheart 6-17lb dan Rentaka Adikara PE2, kedua-duanya memiliki panjang enam kaki enam inci. Joran seperti ini memudahkan saya membuat lontaran dan mengawal ikan semasa pertarungan.

Siakap putih yang menghentam popper.

Saya menggunakan tali utama jenis sulam (braided) berkekuatan 30lb yang dipadankan dengan tali perambut fluorocarbon 60lb. Pastikan tali perambut diikat lebih panjang kerana ia sering ‘terluka’ akibat bergesel dengan batu serta teritip di struktur. Selain itu, bahagian penutup insang siakap putih yang tajam serta permukaan bibirnya yang kasar seakan kertas pasir juga merupakan mimpi ngeri kepada perambut anda.

Ditambah pula dengan aksi akrobatik ikan ini dalam usahanya meloloskan diri serta ‘padang’ pan­cing yang dipenuhi batu dan teritip.

Jadi, penggunaan peralatan yang tidak sesuai akan merendahkan peratusan kejayaan anda untuk mendaratkan ikan. Anda perlu ingat, ikan bersaiz idaman tidak hadir setiap hari.

Saya gemar menggunakan gewang Chasebaits Flick Prawn 95 dan soft plastic Zman Minnow Z Paddle Tail saiz 3 inci. Saya memilih gewang warna semula jadi (natural) dan terang ketika air laut jernih, manakala gewang warna lebih gelap digunakan ketika air sedikit keruh.

Jighead (mata kail berladung) yang digunakan pula adalah jenis weedless (kalis sangkut), saiz 3/0 berat antara lima hingga 15 gram (g). Pastikan juga anda membawa gewang permukaan seperti pencil dan popper kerana kadangkala boleh kelihatan ‘letupan’ siakap putih atau siakap merah menghentam belanak di permukaan air terutamanya pada awal pagi serta lewat petang.

Kekili pilihan saya dengan ketahanan drag sekurang-kurangnya lima kilogram serta nisbah karauan 7:1, sesuai untuk pelbagai jenis gewang dan teknik mengilat yang saya aplikasikan.

Teknik karauan

Dua teknik karauan utama yang sering saya guna jika menggunakan soft plastic adalah slow retrieve (karauan perlahan) dan twitch (sedikit henjutan pantas).

Slow retrieve memerlukan anda untuk melakukan karauan perlahan setelah soft plastic mencecah ke dasar, kemudian berhenti selama dua hingga empat saat dan ulang proses.

Karauan boleh dihentikan seketika apabila jighead mengenai struktur dan membiarkannya dihanyutkan arus sebelum menyambung semula karauan.

Siakap selalunya akan memerhati pergerakan gewang yang sedang hanyut ke dasar terlebih dahulu sebelum membuat sambaran. Ladung jighead yang terkena struktur di dasar akan menghasilkan bunyi dan getaran yang sememangnya efektif ketika memburu spesies ikan yang gemar menyerang hendap seperti siakap putih.

Teknik twitching pula, biarkan gewang cecah ke dasar, lakukan dua hingga lima kali henjutan separa agresif ke atas menggunakan hujung joran. Kemudian, biarkan soft plastic hanyut atau turun ke dasar sambil memastikan tali sentiasa tegang.

Kuncinya adalah pada tali, pastikan ia sentiasa tegang supaya sempat membuat sentapan yang dapat menusukkan mata kail ke mulut ikan semasa ia menyambar ketika gewang dalam keadaan sedang menurun ke dasar. Bagi gewang permukaan, saya menggunakan teknik walk-the-dog iaitu menggerakkan gewang dalam corak zig-zag sambil berhenti seketika sebelum mengulangi proses sama.

Tip melawan dengan ikan memerlukan anda mencari posisi yang lebih tinggi untuk mendapatkan sudut mengepam naik ikan yang berpihak kepada anda dengan mengurangkan risiko tali bergesel pada struktur.

Jika ikan membenam ke arah struktur, berikan tekanan ke arah berlawanan supaya kepalanya berpusing dan keluar dari kawasan bahaya. Kekalkan tekanan pada tali utama setiap masa dan jangan sesekali biarkan tali kendur kerana ini boleh membuatkan mata kail terlucut dari mulut ikan.

Pasang Surut

Berdasarkan pemerhatian saya, siakap di struktur berbatu di Pulau Pinang lebih aktif semasa air mula bergerak pasang pada awal pagi ketika langit mulai hendak cerah.

Mungkin disebabkan pergerakan ikan belanak dan udang yang mencari tempat berlindung di tebing berbatu ketika paras air semakin tinggi, sekali gus menarik perhatian ikan pemangsa untuk menghampiri tebing. Ketika air mulai surut pula, ikan belanak dan udang yang awalnya berlindung di celah-celah batu akan bergerak keluar disebabkan paras air semakin menurun.

Ketika fasa air besar, jika kondisi air tidak terlalu keruh atau beralun, peluang untuk mendaratkan siakap putih bersaiz idaman menjadi lebih tinggi. Ini kerana, kumpulan ikan belanak serta udang cenderung berlindung daripada arus kuat dengan lebih rapat ke kawasan berstruktur.

Kenal pasti lokasi struktur dasar serta arah arus air ketika pasang surut. Sekiranya arus menghala ke sebelah kiri anda, balingan perlu dibuat ke sebelah kanan agar gewang mendarat berhampiran struktur semasa ia dihanyutkan arus.

Tip jika gewang tersangkut pada struktur, karauan perlu dihentikan serta-merta, tegangkan tali dan lakukan beberapa petikan seperti memainkan gitar pada tali utama untuk melepaskannya.

Kesimpulan

Semoga perkongsian saya kali ini memberi manfaat kepada semua yang membaca. Setiap ‘padang’ pancing mempunyai caranya yang tersendiri, dan itulah keunikan hobi ini. Sebahagian daripada tangkapan saya dibawa pulang sebagai santapan, manakala sebahagian lagi dilepaskan semula ke habitat asal agar populasi spesies ini terus terjamin dengan harapan anak cucu kita dapat merasai keseronokan mengilatnya.

Hobi memancing ini bukan sekadar menangkap ikan, tetapi juga tentang memahami ekosistem, kesabaran dan kepuasan diri.

Sentiasa buka minda untuk belajar sesuatu yang baharu, dan semoga anda semua berjaya mendaratkan tangkapan idaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN