PERALIHAN masa membuatkan dunia teknologi turut berdepan dengan pelbagai perubahan. Beberapa gajet yang suatu ketika dahulunya menjadi trend, tetapi kini sudah dianggap tidak relevan dan ketinggalan zaman.
Begitu juga kenangan yang dikongsikan oleh penyanyi yang bakal mengadakan konsert Ajai & Mega Friends di The Star Theatre, Singapura pada 10 Mei depan, Hazama yang menyifatkan kenangan memiliki discman pada usia remaja sebagai memori terindah.
Bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk mendengar muzik, discman itu juga dianggap sebagai simbol maco di samping menjadi daya penarik kepada seseorang.
“Sekitar 2000, pemakaian discman di tempat awam boleh dikatakan seperti satu fenomena dan kelihatan sangat bergaya. Saya sendiri merasakan memakai Disman pada waktu itu satu hal yang sangat bergaya memandang ia adalah gajet paling canggih pada zaman itu.
“Boleh dikatakan juga waktu itu banyak barangan teknologi dari Jepun mula ‘meledak’ di negara kita. Tidak terkecuali saya juga tidak mahu ketinggalan dengan teknologi pada waktu itu.
“Dahulu ada radio kaset mini (walkman), tetapi selepas kewujudan discman bagi saya itu sudah gempak. Walaupun bukan milik sendiri kerana kepunyaaan abang, tetapi kalau ada peluang memang saya akan guna untuk pergi berjalan-jalan,” katanya kepada K-Tekno.
Menarik mengenai discman jenama Sony itu, terdapat bahagian boost bes pada fon kepala yang membuatkan sistem audio lebih memuaskan. Malah, fon kepala itu turut memberikan tindak balas getaran pada setiap bunyi bes yang dihasilkan.
“Fon kepala itu akan disangkutkan di telinga, manakala bahagian belakangnya diletakkan pada belakang leher. Jadi, apabila fungsi boost itu dihidupkan, lagu akan kedengaran lebih seronok dan pada saya itu satu teknologi luar biasa.
“Apabila pakai discman itu saya dapat merasakan seperti berada di dunia yang berbeza. Kita berada dalam dunia muzik kita sendiri tanpa gangguan sesiapa.
“Tetapi setelah beberapa tahun guna, gajet itu pun rosak dan tidak lagi digunakan kerana sekarang mendengar lagu lebih tertumpu di dalam kereta dan telefon,” katanya.
Tambahnya, apabila cakera padat (CD) boleh digunakan di dalam kereta, dia tidak lagi mendengar discman kerana peralihan masa dan merasakan perkara itu sudah tidak sesuai lagi untuk dijadikan ikutan.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Semacam Pandora itu tetap mengabadikan kenangan indah menggunakan discman ketika di usia belia, sekali gus membuktikan dirinya turut tidak ketinggalan mengikuti trend.
Bercerita lanjut mengenai gajet, Hazama atau nama lengkapnya Hazama Ahmad Azmi, 40, sebenarnya memiliki gaya dan cita rasa sederhana dalam soal penggunaan gajet.
Baginya, telefon bimbit lebih berfokus sebagai alat berkomunikasi dan tempat bersosial berbanding kegunaan lain seperti merakam gambar, video atau mendengar muzik.
“Saya seorang yang praktikal. Dahulu pun saya tidak terlalu mengikut trend telefon bimbit sehingga sekarang. Cukup sekadar boleh berhubung dan menggunakan media sosial, itu sudah cukup.
“Dulu saya menggunakan telefon jenis lipat dan tidak mempedulikan sama ada kamera canggih atau tidak. Sesekali itu mungkin ada merakam gambar atau video,” ujarnya.















