fbpx
PAIJANG (kanan) menunjukkan parut luka akibat dipukul sambil diperhati isterinya, Faridah Abdul Karim di rumah mereka di Kampung Mak Chili, Kemaman.

Lelaki OKU dipukul akhirnya buka mulut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, mendakwa tidak berniat serta sengaja melakukan provokasi memasuki Pasar Pagi Padang Astaka dengan motosikal dalam insiden 17 Januari lalu sebaliknya dia mahu menghantar nasi mi­nyak dikirim rakannya.

Dia yang mesra dipanggil Paijang mendakwa, tindakannya itu menimbulkan salah faham dan tanpa membuat penjelasan dia terus dibuli dengan motosikalnya disepak seseorang sehingga terlanggar sebuah gerai makanan di pasar pagi berkenaan.

“Sewaktu saya berpusing buat kali ketiga di kawasan pasar pagi itu tiba-tiba motosikal saya disepak seseorang menyebabkan ia gagal dikawal lalu melanggar sebuah gerai menjual mi goreng.

“Belum sempat memberi penjelasan, saya yang terjatuh bersama motosikal terus dipukul oleh beberapa individu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili, di sini semalam.

Paijang berkata, dia terus dipukul bertalu-talu walaupun telah meminta maaf selain mohon dikasihani dan mahu membayar ganti rugi kepada peniaga terbabit.

Tambah menyedihkan kata­nya, penyerang tersebut tergamak menghumban mukanya ke dalam mi goreng yang tumpah selain mencurahkan makanan itu ke atas kepalanya.

“Saya terpaksa menahan nafas dan kepedihan akibat ter­kena mi goreng. Kepala saya terus disepak sewaktu meminta ihsan diberi air untuk membasuh muka dan mata yang pedih.

“Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya mengapa diperlakukan sekejam itu sehingga di­seret mereka di atas jalan tar. Bukan saya sengaja (melanggar gerai), saya dianiaya,” katanya.

Paijang juga kecewa individu yang menendang motosikalnya sehingga mencetuskan insiden tersebut dilepaskan begitu sahaja.

Dalam pada itu, dia mengadu masih terasa kesakitan akibat dipukul walaupun insiden tersebut sudah lebih dua minggu berlaku.

“Saya mula merasa sakit pada bahagian tulang rusuk sebaik keluar hospital pada Selasa lalu. Mungkin baru rasa sakit sekarang kerana saya diberi ubat penahan sakit sepanjang berada di dalam wad (hospital).

“Parut luka pada bahagian le­ngan, jari dan bahagian belakang badan akibat dipukul juga masih belum hilang,” katanya.

Kosmo! pada 20 Januari lalu melaporkan, Paijang telah dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Pagi Padang Astaka, Chukai pada pukul 9.30 pagi, 17 Januari lalu.

Insiden dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi mangsa dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar pagi terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan.

Kes melibatkan Paijang yang merupakan OKU mental mendapat perhatian awam termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN