fbpx
Nur Irsalina ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika ditemui di Kampung Lereng Bukit, Miri semalam.

‘Belum sempat nak bangun, tanah dah runtuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIRI – Salah seorang remaja yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di sini memberitahu, ibunya sempat memeluk adiknya sebelum tertimbus bersama tiga yang lain.

Nur Irsalina Syahirah, 17, berkata, dalam kejadian pada pukul 2.58 pagi Rabu lalu itu ibunya, Sazarena Arabi, 41, sempat lari sambil memeluk adiknya, Nur Raisyah Syahirah, 8.

Katanya, kejadian yang meragut nyawa ibu, nenek dan tiga adiknya itu berlaku sekelip mata menyebabkan kesemuanya tidak sempat menyelamatkan diri.

“Sebelum kejadian, saya berada di ruang tamu bersama ibu dan adik-adik, manakala nenek tidur di dalam bilik.

“Tiba-tiba kami dengar bunyi jatuh dan ibu yang takut segera berlari memeluk adik. Belum sempat saya hendak bangun, tanah terus runtuh dan menimpa rumah,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nur Irsalina, timbunan tanah runtuh di dalam kawasan rumah telah menyukarkannya untuk keluar menyelamatkan diri.

“Saya cuba alih tanah sedikit supaya dapat bergerak, kemudian datuk jumpa saya dan tolong alihkan tanah. Tidak lama kemudian, bomba pun datang untuk tolong keluarkan saya dari tempat kejadian,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, dalam kejadian itu, selain Sazarena dan Nur Raisyah, tiga lagi yang maut ialah Fatimah Dawi, 71, Irsyad Syairah, 16, dan Nur Rania Syafiqah, 11.

Runtuhan berlaku ketika 12 orang penghuni di dua buah rumah melibatkan kediaman di Lot 287 A dan Lot 287 B tersebut sedang tidur.

Dua yang lain cedera apabila patah kaki kanan dan dan cedera ringan di kaki kiri.

Bomba yang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat menemui mayat pertama pada pukul 6 pagi manakala mangsa terakhir dijumpai lima jam kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN