BAGI sesetengah orang, perkataan maaf itu amat sukar untuk dilafazkan, terutama jika melibatkan persengketaan yang rumit atau menyebabkan trauma mendalam.
Bagi kes-kes sedemikian, individu yang menerima permohonan maaf kebiasaannya berasa berbesar hati, terharu atau gembira kerana mereka tahu, kata-kata itu dizahirkan dengan penuh keikhlasan.
Namun, kebelakangan ini, kerap pula kita terbaca di media sosial atau media massa perihal sebilangan individu meminta maaf selepas mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur provokasi atau menyentuh isu sensitif seperti agama.
Disebabkan sudah terlalu kerap berlaku, ia bagaikan menjadi trend pula. Cakap dahulu, buat salah dahulu, lakukan provokasi dahulu, minta maaf kemudian.
Apa susah, bukankah meminta maaf sudah mampu menutup semua kesilapan dan menamatkan segala sengketa? Demikian menurut sangkaan mereka.
Melihat keadaan ini membuatkan penulis berfikir: Bersungguhkah permohonan maaf itu dibuat? Ikhlaskah kata-kata maaf itu? Siapalah kita mahu menghakimi niat orang, bukan?
Menurut Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, permohonan maaf selepas melakukan provokasi boleh disifatkan satu sikap mengelak daripada menghadapi akibat ekoran tindakan mereka.
Ujarnya, sekiranya sikap itu dilakukan secara berterusan, ia adalah satu strategi menormalisasikan tindakan negatif dan boleh mendorong orang lain untuk melakukan perkara serupa.
“Kadangkala, seseorang itu bertindak provokatif disebabkan tekanan dan pengaruh rakan sebaya atau kumpulan sosial tertentu. Ia bagi menunjukkan keberanian atau ketegasan terhadap konflik yang berlaku.
“Mereka berpendapat bahawa memohon maaf sudah memadai tanpa memikirkan sensitiviti dan kesan kepada orang lain,” kata Mohd. Suhaimi.
Tidak dinafikan bahawa ucapan maaf adalah satu proses utama untuk menyelesaikan konflik tetapi ia tidak selalu dapat menamatkan semua persengketaan atau menutup kesilapan dengan serta-merta.
“Apa yang penting dalam ucapan maaf tersebut adalah, adakah ianya ikhlas atau benar-benar meminta maaf. Adakah konteks kesalahan yang dilakukan itu boleh selesai dengan permohonan maaf sahaja atau perlu diberi ganti rugi yang setimpal?” kata Mohd. Suhaimi.
Katanya lagi, dalam isu provokasi dan kesalahan serius, ucapan maaf sahaja tidak mencukupi tanpa tindakan pemulihan lebih mendalam dengan melihat aspek keparahan kesan tersebut kepada individu, keluarga, kumpulan mahupun sesebuah masyarakat.
Justeru, bagi berdepan dengan situasi atau individu yang sering mencetuskan provokasi serta kemudian meminta maaf, kita perlu bertindak dengan bijaksana.
Memaafkan itu perlu dan satu sikap mulia, namun ada masanya kita perlu bertegas agar pihak lain tidak mudah mengambil kesempatan pada kelembutan hati kita.
Provokasi ada batasnya. Lautan luas usah diduga apa isinya.















