fbpx
PERBUATAN menggantung gambar fotografi manusia di dinding rumah adalah dibenarkan. – Gambar hiasan

K2

Hukum gantung gambar manusia di dinding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apakah hukum merakam gambar fotografi manusia dan menggantungnya dengan tujuan perhiasan atau
kenang-kenangan?

JAWAPAN: Hukum menggantung gambar fotografi ini berkait rapat dengan melakar atau melukis makhluk hidup. Para ulama berbeza pandangan antara mengharamkan atau mengharuskannya.

Terdapat sebahagian ulama yang mengharamkannya.

Hal ini berdasarkan kepada gambar yang terdapat pada zaman Nabi SAW yang dilarang mempunyai tiga ciri iaitu sesuatu yang mempunyai roh seperti manusia dan haiwan, berniat untuk mengagungkannya dan menyerupai atau meniru perbuatan mencipta (sesuatu) oleh Allah SWT. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/670)

Namun, menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani yang menyatakan pendapat tepat adalah sekiranya lakaran atau lukisan tersebut tidak mempunyai bentuk tubuh atau jisim sempurna.

Bahkan, dengan ketidaksempurnaan itu, maka ia tidak dapat hidup seperti tidak mempunyai kepala atau seumpamanya serta bukan untuk dimuliakan, maka ia dibenarkan. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/674)

Hal ini juga berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA katanya: “Jibril AS meminta izin kepada Nabi SAW untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi SAW menyebut:

Masuklah. Kata Jibril: Bagaimana aku nak masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak”. (Riwayat al-Nasaie, 5270)

Hikmah pengharaman pada lakaran yang berjisim dan mempunyai bayang adalah bertujuan menghalang menyerupai dengan penyembahan berhala dan patung, memerangi perbuatan syirik serta menjamin keagungan Allah SWT yang Maha Esa. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/670)

Merakam gambar dengan menggunakan kamera adalah suatu proses menangkap bayang dengan cara yang khusus dan tertentu. (Rujuk: Al-Jawab al-Syafiy Fi Ibahati al-Taswir al-Fotografi, 35)

Menurut Syeikh Ali al-Sayis, hukum sesuatu yang dipanggil sebagai penggambaran matahari atau fotografi tidak sama seperti lukisan gambar, tetapi ia bagaikan penangkapan bayang seperti hasil objek yang terpapar melalui cermin. (Rujuk: Tafsir Ayat Ahkam, 4/58)

Hal ini kerana gambar fotografi terhasil daripada proses tangkap bayang dengan cara tertentu menggunakan alat iaitu kamera.

Oleh itu, terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan perbuatan bergambar fotografi dan tiada larangan menggantungkan gambar tersebut di rumah dan lain-lain tempat.

Perbuatan ini dibenarkan sekiranya gambar tersebut tidak menyebabkan berlaku fitnah seperti gambar perempuan yang memperlihatkan bahagian anggota badan selain daripada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/676)

Oleh itu, merakam dan menggantung gambar di dinding bukan untuk tujuan diharamkan seperti yang dinyatakan, maka perbuatan tersebut dibenarkan.

Merakam gambar fotografi dengan menggunakan alat seperti kamera ini bukan perbuatan melukis dan perbuatan ini dianggapkan sebagai menangkap bayang, maka perbuatan ini diharuskan.

Hukum ini berkekalan selama mana gambar yang diambil adalah tujuan perhiasan di rumah sebagai tanda kenang-kenangan.

Sekiranya menggantung gambar tersebut bertujuan untuk penyembahan dan mengagungkan makhluk, maka perbuatan tersebut diharamkan.

Justeru itu, perbuatan menggantung gambar fotografi di dinding atau disusun sebagai perhiasan di rumah mahupun pejabat adalah suatu perbuatan dibenarkan di dalam agama Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN