fbpx
KETIKA ini Pondok Al-Jaafar di Gopeng mempunyai sehingga 100 penghuni terdiri daripada warga emas, kanak-kanak dan remaja.

Anak buang ibu bapa di pondok mengaji al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOPENG – Seorang pengusaha Pondok Al-Jaafar mendedahkan sekurang-kurangnya 10 orang ibu bapa telah dibuang anak-anak di pusat pengajian asas al-Quran itu di sini setiap tahun.

Pengasasnya, Mohd. Tarudi Bahari, 71, berkata, kebanyakan anak-anak memberi alasan kononnya ibu bapa mereka mahu mendalami ilmu agama.

Katanya, tidak sampai lima minit selepas dihantar ke pondok itu, ibu bapa terus ditinggalkan begitu sahaja sehingga ada antara mereka yang meninggal dunia di situ.

“Biasanya mereka datang ke sini menaiki kereta dan dengan pantas keluarkan ibu atau bapa berserta beg berisi pakaian sebaik tiba di pondok ini.

“Mereka kemudian hanya beri tahu kami ibu atau bapa mereka mahu belajar agama dan terus meninggalkan orang tua masing-masing di sini.

“Ibu bapa yang tidak tahu apa-apa dilihat terpinga-pinga dan tak percaya apa yang berlaku. Saya sendiri saksikan kejadian itu sejak sekian lama,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurutnya, ada anak-anak yang berjanji mahu mengambil semula ibu bapa selepas seminggu atau dua minggu diletakkan di pondok itu, namun semua itu hanya temberang.

“Sudah lebih lima orang tua yang dibuang di sini meninggal dunia. Kita cuba sedaya-upaya mencari waris mereka selepas kematian, tetapi tidak boleh terlalu lama menunggu kerana ia akan melewat-lewatkan urusan pengebumian.

“Ada kes yang memang tiada siapa yang tampil, biarpun usaha mencari waris telah dilakukan. Anak-anak ini memang buang terus ibu bapa mereka ke pondok kami,” katanya.

Katanya, ibu bapa yang dibuang di pondok itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional serta mempunyai tahap pendidikan tinggi.

Antara puncanya perselisihan faham atau bergaduh dengan anak-anak dan dihalau menantu selain dibuang selepas harta benda serta duit ibu bapa habis dikikis dan menghidap penyakit.

“Kami juga ada menyelamatkan ibu bapa yang dibuang anak-anak lalu merempat di jalanan seperti di hentian bas atau di bawah jambatan.

“Maklumat itu biasanya di­salurkan orang ramai kepada kami,” katanya.

Katanya, Pondok Al-Jaafar menempatkan antara 80 hingga 100 penghuni, dengan 2 hingga 3 peratus daripada mereka warga emas dan bakinya kanak-kanak serta remaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN