fbpx
ISTERI Manaf berlaku curang apabila menjalin hubungan dengan lelaki lain. – Gambar hiasan

K2

Isteri curang setelah suami hilang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHILANGAN kerja merupakan satu ujian yang amat besar dihadapi oleh seorang lelaki dikenali sebagai Manaf (bukan nama sebenar).

Disebabkan itu, rumah tangganya musnah apabila isteri tercinta memilih untuk berlaku curang terhadapnya.

“Sebelum ini, saya memiliki kerjaya yang agak baik di sebuah syarikat swasta.

“Selepas berkahwin dan memiliki dua orang anak, saya meminta isteri untuk berhenti kerja kerana saya mampu untuk menyaranya,” katanya yang kini berusia 30-an.

Namun begitu, langit tidak selalunya cerah dan selepas hampir enam tahun bekerja, Manaf ditamatkan perkhidmatan kerana syarikatnya berhadapan masalah kewangan.

Dia mendapat sedikit pampasan untuk meneruskan hidup.

Pada masa sama, Manaf cuba untuk mencari kerja baharu tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Banyak temu duga yang Manaf pergi, namun nasib tidak menyebelahinya.

Disebabkan itu, dia terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Dalam keadaan itu, saya perlu mengurangkan komitmen.

“Saya menyatakan hasrat kepada isteri untuk berpindah dan menyewa rumah lebih murah.

“Isteri saya tidak setuju kerana dia selesa tinggal di kondominium yang kami diami sebelum ini. Dia tidak mahu tinggal di rumah biasa,” jelasnya.

Akhirnya, isterinya terpaksa akur dan mengikut Manaf tinggal di rumah flat biasa.

Manaf mengakui, setelah diberhentikan kerja, hubungan dia dan isteri sering dingin.

Malah, isterinya seolah-olah tidak memahami situasi yang dihadapi mereka ketika itu.

Untuk menyara keluarganya, Manaf terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing buat sementara.

Bagaimanapun, pendapatan yang diterimanya kurang berbanding gaji yang diperolehnya sebelum ini.

“Boleh dikatakan ketika itu, masa saya banyak dihabiskan di jalan raya untuk mencari nafkah buat keluarga.

MANAF terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing selepas hilang pekerjaan.
– Gambar hiasan

“Dalam situasi ini, isteri saya langsung tidak membantu. Saya ada memintanya untuk bekerja tetapi dia tidak mahu berbuat demikian.

“Dia menyatakan, itu tanggungjawab saya sebagai suami untuk menyara dia dan anak-anak kerana saya merupakan ketua keluarga,” jelasnya.

Isterinya langsung tidak memahami ujian yang sedang dihadapi oleh Manaf.

Ada ketikanya, isteri Manaf mengajaknya keluar makan di tempat mewah, membeli-belah dan pergi bercuti.

Apabila Manaf tidak dapat menunaikan semua permintaannya itu, isterinya akan merajuk dan marah kepadanya.

“Saya dapati isteri saya sudah banyak berubah. Layanan dia kepada saya tidak seperti sebelum ini.

“Hubungan kami menjadi semakin dingin. Dia memilih untuk tidur berpisah katil dengan saya,” katanya.

Akhirnya, Manaf mendapat tahu bahawa isterinya berlaku curang, dia mula menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Semuanya terbongkar setelah melihat perbualan isterinya dengan lelaki lain di dalam satu aplikasi di telefon pintar.

Dalam perbualan itu, mereka kelihatan cukup mesra seperti pasangan kekasih yang sedang dilamun cinta.

“Saya bertanyakan hal tersebut kepada isteri, dia mengaku ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain yang dikenalinya dalam satu aplikasi ‘dating’.

“Dia sengaja tidak memadam perbualan itu supaya saya tahu dia ada lelaki lain. Ini kerana, dia memang berhasrat untuk berpisah dengan saya.

“Dia memaklumkan bahawa lelaki itu lebih stabil dari segi kewangan berbanding saya.

“Lelaki itu juga mampu menunaikan apa yang dimahukan oleh isteri saya,” jelasnya dalam nada sedih.

Tambah Manaf, isterinya memang nekad untuk berpisah dan minta untuk dilepaskan (diceraikan).

Pada ketika itu, Manaf dapat merasakan dirinya seperti lelaki yang tidak berguna kerana tidak dapat memberikan kemewahan kepada isterinya.

Setelah berfikir panjang, dia mengambil keputusan untuk melepaskan isterinya itu.

“Tidak guna saya mempertahankan perkahwinan kami lagi. Ini kerana isteri saya sudah ada lelaki lain.

“Saya juga tidak mahu ambil tahu apa yang mereka telah lakukan di belakang saya.

“Saya mengambil keputusan untuk melepaskannya,” ujarnya.

Akhirnya, Manaf dan isterinya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di sebuah negeri di Utara Semenanjung.

Kini, kehidupan Manaf semakin bertambah baik dan dia telah mendapat pekerjaan setelah hampir tiga tahun bergelar penganggur.

Malah, Manaf kini telah berkahwin lain dan dia dapat merasakan hidupnya kini lebih bahagia.

“Saya berkahwin dengan rakan lama saya. Kami kembali bertemu setelah saya berpisah dengan isteri.

“Dia menerima saya seadanya, malah sikapnya juga berbeza dengan bekas isteri saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN