fbpx
Sebahagian ubur-ubur api yang ditemukan di Pantai Sura, Dungun kelmarin.

Enam pantai di Terengganu diserang ubur-ubur api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Portuguese Man of War atau ubur-ubur api dikesan banyak terdampar di sekurang-kurangnya enam pantai peranginan di seluruh Terengganu pada musim tengkujuh ini.

Pantai tersebut ialah Pantai Beting Lintang, Besut, Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, Pantai Tok Jembal, Mengabang Telong dan Pulau Redang, Kuala Nerus, Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dan terbaharu Pantai Sura, Dungun.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat mengingatkan orang ramai yang mengunjungi kesemua pantai di negeri berkenaan agar berhati-hati dan tidak menyentuh Portuguese Man of War.

“Hati-hati dan jangan sentuh Portuguese Man of War kerana sengatannya sangat beracun dan boleh mendatangkan kesan kecederaan teruk.

“Jika terkena sengatan, dapatkan rawatan segera di klinik. Laporkan juga penemuannya kepada Jabatan Perikanan Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Terdahulu pengunjung Pantai Sura di sini yang sedang leka mengutip kerang kelmarin terkejut dengan penemuan puluhan ubur-ubur api yang turut terdampar di kawasan itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Roswati Md. Amin berkata, Portuguese Man of War mempunyai sel-sel penyengat berbisa yang terletak pada bahagian tentakel sebagai mekanisme pertahanannya.

“Ramai tertarik untuk mendekati spesies dikategorikan di bawah kumpulan hidroza marin itu kerana warnanya yang cantik iaitu biru lut sinar.

“Ia direkodkan di Lautan Pasifik, Hindi dan Atlantik dan bergerak mengikut pergerakan arus dan tiupan angin,” katanya.

Roswati berkata, Portuguese Man of War terdampar di pesisir pantai Terengganu pada musim tengkujuh ekoran tiupan angin kuat.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak berkuasa mengambil langkah proaktif untuk memantau keselamatan orang ramai bagi mengelak berlakunya kes sengatan ubur-ubur api itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN