MUAR – Kematian seorang bayi lelaki, Muhammad Arasy Lutfi, 11, pada Oktober tahun lalu ketika berada dalam jagaan pengasuh masih meninggalkan tanda tanya kepada ibu bapa mangsa yang sehingga kini belum mengetahui punca sebenar kejadian tersebut.
Syamsul Bakti Shor Kawi, 33, berkata, dia dan isteri Nurul Hidayah Sharbani, 32, telah reda dengan apa yang berlaku, namun tetap mahukan keadilan buat cahaya mata mereka.
Syamsul berkata, dia telah membuat laporan berhubung kematian anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada hari kejadian.
“Selepas lebih dua bulan berlalu, kami sekeluarga masih menanti penuh sabar laporan bedah siasat daripada pihak hospital untuk mengetahui punca sebenar kematian anak kami.
“Kami berharap ada keadilan untuk arwah. Reda memang reda, tetapi keadilan perlu untuk anak kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Syamsul, dia dan isteri hanya dapat merasai perasaan sebagai ibu bapa selama 11 bulan sehingga situasi itu meninggalkan perasaan rindu yang sangat berat.
“Sangat sakit menanggung rindu. Kami terlalu rindukan gelak tawa, senyuman, jelingan mata Arasy,” katanya.
Syamsul berkata, sebelum kejadian pada 30 Oktober tahun lalu, Muhammad Arasy Lutfi dalam keadaan sihat dan dihantar ke rumah pengasuh kira-kira pukul 8.50 pagi tidak jauh dari kediamannya di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah di sini.
Katanya, selepas sejam dihantar, isterinya kemudian dihubungi pengasuh yang memaklumkan anak mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Semasa kejadian, Syamsul yang bekerja sebagai pegawai tadbir pemasaran dan isterinya sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat berada di tempat kerja masing-masing di sini.
“Isteri saya menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu anak tunggal kami tidak sedarkan diri dan dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan awal.
“Ketika di klinik, anak saya sudah terkulai dan doktor periksa tiada degupan jantung, tiada nafas dan badan anak saya juga sudah sejuk.
“Disebabkan tiada alatan yang diperlukan mereka meminta terus ke hospital tanpa memberi bantuan CPR dan tanpa panggilan ambulan pada ketika itu atas alasan kereta lebih laju,” katanya.
Syamsul berkata, sebaik tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pakar Sultanah Fatimah, doktor telah berusaha lebih 30 minit memberikan rawatan tetapi anak syurga mereka tidak dapat diselamatkan.
Katanya, pasukan perubatan mengisytiharkan bayi mereka sebagai death on arrival.
Semasa di hospital, Syamsul sempat bertanyakan kejadian sebenar kepada pengasuh yang berusia lingkungan lewat 30-an.
“Pengasuh memaklumkan ketika kejadian dia memberi susu sebelum meletakkan bayi kami dalam keadaan bertiarap di hadapan televisyen sementara dia ke dapur untuk menyediakan sarapan kepada ibunya yang terlantar sakit.
Katanya, tidak lama kemudian, pengasuh mendengar anaknya menangis dan tubuh mengalami kebiruan secara tiba-tiba.
“Pengasuh memberi keterangan kepada kami berbeza-beza, mula-mula cakap lepas beri susu dia masuk dapur, kejap cakap selepas beri susu dia tiarapkan Arasy di hadapan televisyen untuk dia bermain.
“Dan terbaharu, pengasuh datang berjumpa kami dan beritahu ketika kejadian dia tiarapkan anak sementara dia tarik tilam dan tiba-tiba anak menangis selain badan jadi biru.
“Selain itu pengasuh itu cakap anak masih hidup masa di klinik, nafas terakhir di selekoh terakhir sebelum sampai ke Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasi sebagai SDR (Sudden Death Report).















