BALIK PULAU – Kumpulan nelayan di daerah ini dikatakan sudah lima hari tidak turun ke laut berikutan fenomena air laut bergelora dan angin kuat yang melanda kawasan perairan negeri ini sejak beberapa hari lalu.
Difahamkan, keadaan yang berlaku telah menyebabkan rata-rata nelayan pantai mengambil keputusan untuk menggantungkan pukat buat sementara waktu, bimbang kejadian tidak diingini berlaku ketika di tengah laut.
Ketua Unit Nelayan Pulau Betong, Arshad Omar berkata, kira-kira 230 nelayan berdaftar kini dalam tempoh ‘bertenang’ dan berehat sementara daripada turun mencari hasil laut.
Katanya, keadaan laut bergelora dan angin kuat membuatkan sebahagian besar nelayan tidak berani menanggung risiko turun ke laut untuk memukat ikan ketika ini.
“Sudah masuk hari kelima kami tidak ke laut. Ingatkan hari ini (semalam) cuaca elok dan kami pun sudah bersiap sedia untuk tolak bot di jeti, tapi keadaan (laut bergelora dan angin kuat) dilihat masih tidak berubah. Ada yang turun tapi patah balik.
“Siapa pun tidak tidak berani turun waktu sebegini. Ada pun hanya 25 hingga 30 peratus sahaja iaitu tidak kurang dari 10 buah bot yang turun menangkap udang di persisiran pantai dekat kawasan pokok bakau di sini.
“Jarak mereka keluar ke lokasi penangkapan udang kurang dari tiga batu nautika, manakala kami yang tidak keluar ke laut kini hanya bergantung dengan duit simpanan daripada hasil tangkapan yang diperoleh sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Arshad merangkap Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan berkata, kebiasaannya pendapatan bersih yang diperoleh nelayan adalah antara RM100 hingga RM200 sehari.
“Disebabkan ini juga, bekalan ikan untuk dipasarkan kepada peniaga di daerah ini turut terkesan,” katanya.















