AMINUDDIN (dua dari kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM1,400 kepada kumpulan Skolvengers yang menjuarai pertandingan CubeSat baru-baru ini.

K2

Jurutera Angkasa Muda tingkat minat pelajar dalam STEM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PROGRAM Jurutera Angkasa Muda mampu meningkatkan minat murid sekolah kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ia selaras Dasar Angkasa Negara 2030 yang menyasarkan pencapaian negara maju dalam teknologi enam tahun lagi.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pendedahan kepada program tersebut mampu memupuk minat generasi muda dalam teknologi angkasa serta menyiapkan sektor itu dengan keperluan tenaga pakar seperti saintis dan jurutera angkasa pada masa hadapan.

“Dasar Angkasa Negara 2030 yang menyasarkan pencapaian negara maju mampu melahirkan saintis bukan sahaja memenuhi keperluan pada masa hadapan, tetapi membekalkannya kepada global.

“Ia penting sebagai platform untuk melahirkan generasi saintis, jurutera dan penginovasi yang akan menerajui teknologi angkasa negara pada masa hadapan.

“Saya percaya lebih banyak program seumpama itu dapat menarik minat dalam kalangan pelajar terhadap bidang sains dan teknologi selain memperkukuh serta mencipta peluang kerjaya bernilai tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Jurutera Angkasa Muda di Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang, Banting, Selangor baru-baru ini.

Aminuddin berkata, ruang angkasa bukan sekadar platform untuk diterokai, tetapi memainkan peranan penting dalam membantu kita memahami dan menguruskan perubahan iklim di bumi.

Jelasnya lagi, teknologi angkasa terbukti berupaya memudahkan pemantauan iklim, ramalan cuaca dan pengurusan bencana alam.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, pihaknya menyasarkan Malaysia berada pada kedudukan ke-30 dalam Indeks Inovasi Global dua atau tiga tahun akan datang.

“Tahun ini kita berada pada kedudukan ke-33 iaitu naik tiga anak tangga berbanding statik di tempat ke-36 selama tempoh tiga tahun sebelum ini.

“Justeru kementerian berhasrat melaksanakan Indeks Inovasi Malaysia pada tahun 2025 bagi mengumpul dan menyalurkan maklumat kepada Indeks Inovasi Global untuk ditingkatkan pada kedudukan ke-30 dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang,”ujarnya.

PROGRAM Jurutera Angkasa Muda melibatkan pembangunan minat dan kemahiran.

Mengulas mengenai program tersebut beliau berkata, sasaran asal program berbentuk pertandingan lukisan dan penciptaan CubeSat (satelit mini) itu hanyalah seramai 14,250 murid.

Namun, program tersebut mendapat sambutan hangat melibatkan 24,000 orang murid daripada 57 buah sekolah di daerah Kuala Langat.

“Program Jurutera Angkasa Muda ini bermula sejak 23 September lalu yang melibatkan pembangunan minat dan kemahiran menerusi aktiviti seperti membina model CubeSat selain pertandingan mewarna bertemakan angkasa sempena Minggu Sains Negara 2024 dan Minggu Angkasa Sedunia 2024 Malaysia.

“Ia dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama SpaceIn Sdn. Bhd. dan Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya.

Terdahulu, pertandingan CubeSat disertai 23 kumpulan yang bersaing untuk memenangi hadiah wang tunai.

Kumpulan Skolvengers dari Sekolah Kebangsaan Olak Lempit, Banting, Selangor muncul juara pertandingan CubeSat tersebut. Kongsi guru pengiring sekolah tersebut, Adila Nordin, pertandingan itu merupakan wadah terbaik untuk meningkatkan minat murid dalam kerjaya berkaitan STEM.

“Sebenarnya, pengekodan pengaturcaraan ini memang ada diajar dalam mata pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) di sekolah.

“Jadi, kami rasa perlu ambil peluang ini bagi memberi ruang, pendedahan dan pengalaman kepada murid-murid,”ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Skolvengers, Aminuddin Aiman Mohd.Saiful berkata, pertandingan tersebut membuka ruang kepada dia dan rakan-rakan untuk meneroka bidang angkasa lepas walaupun persediaan dibuat dalam beberapa hari sahaja.

Katanya lagi, dia juga bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera seperti bapanya.

“Apa yang paling penting, saya bersama rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama dapat belajar benda baharu.

“Insya-Allah kami akan mengaplikasi ilmu baharu yang kami belajar di sekolah,” jelasnya.

Selaku juara, pasukan Skolvengers membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,400.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN