KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan mewajibkan pendidikan sekolah menengah akan dibentang di Dewan Rakyat pada sesi persidangan yang bermula 3 Februari hingga 6 Mac ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha Kementerian Pendidikan (KPM) menangani pelbagai isu sistem pendidikan negara.
Jelasnya, ia termasuk berhubung masalah keciciran pelajar dan ketidakhadiran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Satu lagi inisiatif dar KPM adalah untuk mengangkat dasar pendidikan wajib (bagi) sekolah menengah.
“Jadi kita harap ini adalah langkah-langkah yang dapat dilaksanakan dengan baik mungkin bagi mengatasi isu yang berkait rapat dengan kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyampaian Cek Bantuan Awal Persekolahan 2025 di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE