JOHOR BAHRU – “Air naik terlalu cepat, yang saya fikir selamatkan anak-anak dahulu,” kata seorang mangsa banjir, Nurasyiqin Abdullah, 30.
Nurasyiqin antara sebahagian daripada 97 penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SJK (C) Pu Sze, Skudai di sini.
Katanya, air naik dari Sungai Skudai sangat cepat disusuli hujan lebat tanpa henti sejak semalaman kira-kira pukul 6 pagi hari Sabtu.
“Bayangkan saya bersama suami bergegas kejutkan anak-anak yang sedang tidur sebab air masuk dari arah belakang rumah.
“Yang saya fikir keselamatan anak dahulu sebab keadaan kelam kabut dan gelap ketika air mulai melepasi tebing Sungai Skudai,” katanya semalam.
Nurasyiqin yang tinggal di Kampung Sepakat Baru bersama suami serta empat anaknya berumur dua hingga 11 tahun serta dua adik perempuannya tidak dapat menyelamatkan sebahagian peralatan elektrik.
Katanya, beberapa peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh terbalik apabila air mulai naik sehingga paras paha.
Bagaimanapun dia dapat menyelamatkan pakaian sekolah anak dan beberapa pakaian harian dengan meletakkan di tempat tinggi.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 3,785 penduduk setakat 5 petang semalam berbanding 1,081 keluarga kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu bertambah berbanding 1,291 penduduk daripada 396 keluarga yang direkodkan pada 2 petang kelmarin.
Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 37 PPS dibuka di Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
“Hari kedua banjir di negeri ini menyaksikan Kota Tinggi merupakan daerah paling terjejas dengan seramai 1,250 penduduk daripada 361 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.
“Turut terjejas ialah daerah Kulai dengan seramai 641 penduduk daripada 181 keluarga dipindahkan ke lima PPS di daerah tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kata beliau, jumlah mangsa banjir di Johor Bahru melibatkan 605 penduduk daripada 206 keluarga di lima PPS diikuti 526 penduduk daripada 154 keluarga di lima PPS di Kluang dan 576 penduduk daripada 144 penduduk di sembilan PPS di Pontian.















