fbpx
Tangkapan yang sungguh tidak dijangka, begahak dengan gewang topwater! Begahak yang kena gewang pencil di mulut, mungkin pergerakan pencil yang perlahan membuatkan ia sempat menerkamnya.

Satu rekod topwater terbaharu dalam dunia menggewang negara!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Begahak atau nama saintifiknya Belodontichy dinema merupakan antara ikan pemangsa air tawar unik yang ada di Sungai Pahang dan semua anak sungai yang berhubung dengannya.

Begahak bersifat karnivor, oleh itu ikan-ikan kecil merupakan diet utamanya dan sebab itu teknik mengilat gewang dan menggunakan umpan anak ikan hidup antara cara berkesan untuk mendapatkan ikan ini.

Begahak ini sebenarnya ikan yang tidak sukar dicari, terutama jika kena pada musimnya. Selalunya keadaan air sungai yang ber­sesuaian adalah ketika musim kemarau, apabila paras air sungai Pahang menjadi surut dan jernih.

Semasa itulah boleh kelihatan kumpulan ikan begahak ini meligan kumpulan anak-anak ikan. Pergerakan kumpulan anak-anak ikan mudik ke hulu ini orang kampung menggelarkannya ‘ikan mungkus’.

Apabila berkumpulnya makanan di satu-satu tempat, maka lebih mudahlah begahak memburu mangsanya. Jadi pada masa yang sama begitulah pemancing yang akan berpusu-pusu menunggu di lokasi-lokasi yang strategik tersebut. Ini kerana, pada masa-masa yang lain, ikan begahak ini bersepah dan tidak berkumpul, jadi menyukarkan usaha pencariannya.

Gewang topwater

Asalnya saya menggunakan gewang permukaan ini untuk menggoda se­barau juvenil, bukannya begahak.

Pada satu petang saya turun ke Sungai Jelai dengan bot sendiri untuk mengilat sebarau dengan cara ber­hanyut di sepanjang tebing sungai sambil menggila menghulurkan gewang ke sudut-sudut yang dirasakan berpotensi.

Saya lebih gemar menggunakan gewang permukaan seperti popper dan pencil bagi mengelakkan kejadian gewang kerap tersangkut ke reba jika menggunakan gewang selaman pasti ia melecehkan.

Lemparan demi lemparan popper akhirnya bersahut di satu reba. Hairan, perlawanan yang diberikan ikan bukan seperti kebiasaannya sebarau yang menekan. Ikan dilayan dengan berhati-hati sehinggalah ia memunculkan diri di tepi bot, begahak rupanya!

Terus menggigil satu badan, kerana setahu saya, belum pernah lagi ikan begahak direkodkan dipancing menggunakan gewang permukaan. Alhamdullillah.

Saya masih lagi kurang percaya atas kejayaan ini, lantas popper dimainkan di reba yang sama, ia bersahut beberapa kali, malangnya satu pun tidak lekat.

Hari semakin senja dan perjalanan balik pasti berbahaya dalam keadaan gelap malam. Sesi pancingan terpaksa saya tamatkan.

Saya perlu membuktikan bahawa keja­dian semalam bukannya nasib semata-mata, lantas keesokan hari saya turun lagi menguji begahak dengan gewang permukaan (topwater). Dari tengah hari bermacam kedalaman lubuk saya cuba, akhirnya sama macam masa yang saya dapat begahak semalam iaitu lewat senja barulah saya kena seekor lagi.

Kali ini begahak menghentam gewang topwater pencil pula.
Tip lokasi

Apabila saya berjaya buka ‘kunci’ menggoda begahak dengan gewang permukaan, tangkapan seterusnya menjadi lebih mudah.

Kebiasaannya pemancing akan memburu begahak di kawasan berlubuk yang dalam. Sebab itulah gewang selaman dalam menjadi pilihan utama.

Saya juga banyak kali mencuba lokasi yang dalam dengan gewang permukaan, namun ia tidak mendatangkan apa-apa langsung keputusan yang positif, walaupun ketika itu kelihatan kumpulan begahak sedang aktif membantai anak-anak ikan.

Mungkin air yang terlalu dalam menyebabkan kumpulan begahak tidak menyedari adanya gewang sedang dimainkan di permukaan air atau sememangnya begahak ini lebih gemar berlegar di perimeter yang paling dalam jika berada di lubuk-lubuk yang dalam. Sebab itulah gewang selaman dalam lebih menjadi di kawasan sebegini berbanding gewang topwater.

Saya perasan kawasan yang saya kena begahak dengan gewang permukaan ialah di lokasi bereba berupa bangkar-bangkar kayu di tebing sungai dan dasarnya tidak dalam, kedalaman sekitar 2 hingga 3 meter (m) sahaja.

Saya merasakan keadaan air yang cetek dan adanya reba berhampiran sebagai markas untuk ia menyerang hendap menjadi sebab utama begahak dapat mengesan gewang permukaan yang dimainkan, lantas mengejutkan naluri pemangsanya untuk menerkam gewang.

Tip waktu sesuai

Paling sesuai adalah waktu petang hendak ke senja, ini kerana semua begahak yang saya dapat dengan menggunakan topwater adalah pada waktu tersebut. Saya banyak kali mencuba gewang permukaan pada waktu pagi dan tengah hari, tetapi saya tidak mendapat satu pun sambaran dari begahak.

Pada pendapat saya, waktu lewat petang kumpulan anak-anak ikan banyak menghimpit kawasan cetek, mungkin untuk mencari makanan sebelum malam menjelma. Oleh sebab itulah anda selalu melihat ramai nelayan sungai menjala ikan-ikan kecil di lokasi berair cetek pada waktu petang sahaja. Kehadiran ikan-ikan kecil yang banyak ini pasti membuatkan begahak mudah memburu mangsanya di kawasan tersebut.

Tip saiz gewang permukaan
dan cara memainkannya

Gunakan gewang permukaan yang bersaiz kecil, sebolehnya yang menyerupai saiz ikan-ikan kecil yang biasa diligan begahak. Saiz terbaik antara 5 hingga 8 sentimeter (sm). Saiz gewang yang kecil juga dapat mengurangkan kes lucut ketika begahak membedalnya.

Guna mata tiga yang tajam berkekuatan 3X ke bawah sahaja kerana begahak suka menyambar gewang secara membuta tuli dan sering tersasar dari gewang. Mata tiga berdiameter kasar akan menyebabkan ia sukar tertancap di mulut begahak.

Popper atau pencil perlu dimainkan secara perlahan-lahan supaya begahak sempat mengesan kedudukannya di permukaan air, terutamanya di dalam kondisi air sungai yang bukannya jernih kristal. Warna gewang yang terbaik sudah pasti yang berwarna garang dan terang.
Inilah pengalaman saya mengilat begahak dengan gewang permukaan. Semoga tip dan info yang saya kongsikan dapat membuatkan impian anda pula menjadi kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN