KLUANG – Kerja-kerja penggantian paip lama daripada saluran utama ke meter rumah di beberapa taman perumahan di bandar ini yang terbengkalai sejak dua tahun lalu menimbulkan persoalan orang ramai sama ada akan diteruskan atau tidak.
Ini kerana saluran paip berwarna biru itu bukan hanya mengganggu laluan penduduk taman perumahan, bahkan ada antaranya dipenuhi tanah kerana terlalu lama terbiar.
Seorang penduduk Rahimi Mohamad, 35, berkata, saluran yang tidak siap disambung ke meter air di setiap rumah kawasan menyukarkan pemilik rumah untuk parkir kereta.
“Kami bimbang paip itu akan rosak jadi, mana kami hendak parkir kenderaan,” katanya.
Kata Rahimi, ada juga penduduk rumah melakukan inisiatif menyambung sendiri saluran itu ke meter rumah mereka walaupun tidak ikut piawaian.
“Soalnya sekarang adakah kami boleh menyambung sendiri saluran yang sudah siap terpasang itu dan siapa akan menanggung kos penyambungannya.
“Justeru, kami berharap pihak berkaitan dapat memberikan jawapan bagi memudahkan penyelesaian ke atas kerja-kerja yang tergendala ini,” katanya semalam.
Seorang lagi penduduk, Jasni Roslan, 55, berkata, penggantian paip lama ke meter itu juga dilihat tidak dilakukan kepada semua taman perumahan dan hanya terpasang di sebahagian kawasan penduduk di kawasan Batu 4 ini.
Katanya, jika benar kerja pemasangan paip baharu itu akan disambung semula diharapkan dapat dilakukan segera sebelum ia rosak dan membazir kos serta tenaga ketika pemasangan dilakukan.
“Jika tidak diteruskan, disarankan saluran paip itu dibuang daripada terus terbiar dan secara tidak langsung memudahkan penduduk,” katanya.
Kata Jasni, setelah dua tahun tiada kata putus mana-mana pihak.















