fbpx
Bot membawa etnik Rohingya yang diusir selepas memasuki perairan negara.

Rohingya menyamar naik bot nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Pendatang a­sing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya bertindak licik mengaburi mata pihak berkuasa dengan me­nyamar sebagai bot nelayan bagi mema­suki perairan pulau peranginan ini.

Ketua Pengarah Agensi Pe­nguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, kedudukan Langkawi yang dikelilingi banyak pulau kecil dengan kawasan perairan luas turut menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan bot membawa PATI.

“Langkawi terletak di utara Selat Melaka tidak jauh dari Thailand. Oleh itu kita sentiasa me­ningkatkan pengawasan menerusi Op Guard 4.0.

“APMM turut mening­katkan kekerapan rondaan di kawasan tertentu selain pemantauan menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia dan aset udara,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Kata beliau, dalam Op Guard 1.0 pada 26 Disember 2022 sehingga siri 4.0, pihaknya berjaya mematahkan cubaan menceroboh perairan negara te­rutama Langkawi.

Ini terbukti apabila data pihaknya menunjukkan kemasukan PATI warga Myanmar terutamanya di Langkawi pada 2023 dan 2024 adalah sifar.

Mohd. Rosli berkata, faktor cuaca berangin selama empat bulan bermula Disember lalu turut menghanyutkan bot pelarian ke kawasan perairan Malaysia.

Beliau bagaimanapun me­nyangkal dakwaan berlakunya kebocoran di perairan negara susulan pendaratan seramai 196 PATI Myanmar di Pantai Teluk Yu pada awal pagi 4 Januari lalu.

Op Guard merupakan operasi bersepadu yang turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Imigresen. Kali terakhir kumpulan etnik Rohingya mendarat di Langkawi pada 23 Disember 2022 melibatkan seramai 36 orang.

Pada 4 Januari lalu, Kosmo! me­laporkan misteri penemuan sebuah bot asing yang terdampar di pantai Teluk Yu, Ayer Hangat, Langkawi terjawab apabila ia digunakan oleh ratusan PATI untuk memasuki negara ini secara haram.

Selain bot berkenaan, penduduk tempatan turut menemui pelbagai barangan termasuk pakaian dan makanan yang berselerak di pantai tersebut.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan penduduk mengenai keselamatan mereka selepas ada yang mendakwa melihat keha­diran ratusan orang asing di pantai tersebut.

APMM mengesahkan pihak­nya menahan seramai 196 PATI dari Myanmar yang terkandas di pantai tersebut pada hari ber­kenaan selain mengusir dua buah bot membawa hampir 300 PATI di Pulau Rebak disyaki cuba mendarat di Langkawi.

Kesemua mereka berada dalam keadaan keletihan selepas dipercayai melalui perjalanan yang panjang tanpa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN