TAHUN 2025 sememangnya dinantikan oleh peminat bola sepak tanah air terutama penyokong setia Harimau Malaya yang sudah lama menanti kejayaan pasukan di peringkat antarabangsa.
Sejak pertengahan tahun lalu, spekulasi mengenai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal melakukan pembaharuan ‘maksimum’ bertiup kencang sebelum pendedahan dibuat secara rasmi bulan lalu.
Antara perubahan ketara yang dibuat adalah memastikan penstrukturan semula skuad kebangsaan yang kini ‘dipisahkan’ daripada carta badan induk itu bermula tahun ini.
FAM selaku pengelola skuad kebangsaan kini memberi mandat kepada bekas pemain berpengalaman dari Kanada, Rob Friend untuk ketua pegawai eksekutif (CEO) pertama pasukan Harimau Malaya.
Tugas Friend adalah memastikan skuad negara dapat mencapai misi ditetapkan di atas dan luar padang bagi memulihkan reputasi dan pengurusan ke tahap lebih profesional.
Sementara itu, FAM turut membuat kejutan apabila mencari ‘angin baharu’ dengan memilih pengendali import dari Australia, Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Dia dijangka berdepan tugas berat dalam usaha menyamai rekod yang ditinggalkan oleh bekas jurulatih ‘kesayangan’ rakyat Malaysia, Kim Pan-gon.
Apa yang Pan-gon lakukan sebelum ini dengan memastikan Harimau Malaya layak ke pentas Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun ‘wajib’ diulangi Cklamovski.
Kehadiran kedua-dua individu berpengaruh ini bukan sahaja diharap dapat mengharumkan semula nama Malaysia di pentas antarabangsa, sebaliknya perlu melakar sejarah baharu.
Ini kerana FAM dilaporkan telah berbelanja besar selain bantuan daripada Kerajaan untuk memberikan dana lumayan mencecah RM15 juta pada Belanjawan 2025 yang lepas.
Pemerhati bola sepak negara, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim percaya, apa yang dilakukan oleh FAM itu sebagai langkah positif dengan misi meningkatkan semula kualiti bola sepak negara.
“Saya fikir segala tindakan yang diambil dengan melantik individu-individu berprofil tinggi untuk mengetuai revolusi baharu boleh dianggap sebagai perkembangan positif.
“Sudah tentu, harapan yang diletakkan oleh peminat sangat tinggi memandangkan skuad kebangsaan selepas ini dijangka bakal diwarisi ramai pemain warisan dan naturalisasi.
“Justeru, saya mahu pelaburan yang FAM lakukan ini dapat membuahkan hasil yang lumayan kerana saya tidak fikir mereka yang dilantik dibayar dengan harga murah.
“Kita faham imbuhan adalah perkara sulit tetapi saya pasti gaji mereka bukan calang-calang. Tentunya kita ada hak mengetahui apa indeks petunjuk prestasi (KPI) yang diletakkan nanti,” katanya.
Zulakbal yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menyeru agar sasaran diletakkan selepas ini bukan sekadar layak ke Piala Asia 2027 tetapi lebih dari itu.
“Kalau kita sasarkan sekadar layak, mungkin ini hanya menyamai pencapaian lepas (ketika layak pada Piala Asia 2023).
“Dengan suntikan dana diberikan, sudah pasti kita perlu meletakkan sasaran lebih tinggi agar berbaloi dengan pelaburan yang dibuat,” katanya.
Setakat hari ini, Friend dan Cklamovski masih belum diperkenalkan secara rasmi kepada umum dengan skuad Harimau Malaya.














