Saudara Pengarang,
Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjalankan Ops Mengejut di seluruh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) baru-baru ini adalah satu langkah tepat bagi memastikan kenderaan terutama kenderaan berat menepati piawaian yang ditetapkan.
Ia berikutan sejak kebelakangan ini banyak kes kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti lori yang ada, antaranya tidak patut berada di jalan raya kerana membahayakan nyawa orang lain.
Kes terbaharu nahas ngeri yang mengorbankan tujuh nyawa termasuk lima sekeluarga di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Ayer Keroh, Melaka berpunca dari tayar lori tercabut yang berada di lorong tengah laluan berkenaan pada 24 Disember lalu.
Ada beberapa faktor boleh menyebabkan tayar kenderaan berat dan lori mudah tercabut iaitu beban berlebihan, tekanan udara yang tidak betul serta kegagalan mekanikal.
Selain itu, kegagalan mekanikal termasuk kerosakan pada rim, kebocoran atau kerosakan struktur tayar itu sendiri yang mungkin disebabkan kelemahan bahan tayar.
Ini semua berlaku berkemungkinan pihak terbabit tidak mengambil berat tentang pemeriksaan ke atas lori disebabkan mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi pengguna jalan raya lain.
Dalam operasi yang dilakukan di Puspakom itu, JPJ mengesan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori yang menggunakan tayar celup tidak selamat dan berada dalam keadaan uzur yang berpotensi meletup pada bila-bila masa.
Itu baru satu kes yang dikesan pihak berkuasa, apa lagi banyak lori yang tidak diperiksa secara berkala dan berada di atas jalan raya.
Ia seperti bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa. Diharapkan pihak berkuasa seperti JPJ akan meneruskan operasi seumpama ini bagi mengelakkan lebih banyak nyawa melayang ekoran kecuaian syarikat pengendali lori yang tamak.
Pemandu berhemah
Klang, Selangor














