fbpx
Mohd. Arif dan neneknya, Kartina (kiri) menunjukkan gambar kenangan bersama arwah ibunya, Noor Hidayanti (gambar kecil) ketika ditemui di rumah mereka di Sabak Bernam.

‘Mak jaga kamu 40 hari lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAK BERNAM – Seorang remaja lelaki tidak menyangka gurauan ibu untuk menjaganya selama 40 hari lagi menjadi ke­nyataan apabila wanita itu maut dalam kemalangan di Jalan Tali Air 4, Ban 2, Tanjong Karang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa, Noor Hidayanti Ngisah @ Norman, 45, yang parah di perut di­sahkan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tanjong Karang.

Mohd. Arif Husaini, 13, berkata, ibunya memaklumkan perkara itu pada hujung November lalu, namun dia menyangka kata-kata tersebut hanyalah gurauan.

Katanya, arwah ibunya sempat menghantarnya ke Sekolah Agama Menengah Pasir Panjang pada pagi kejadian de­ngan menaiki motosikal.

“Sebaik sampai di sekolah, saya beritahu songkok tertinggal, teta­pi ibu kata jauh untuk berpatah balik. Saya berdoa supaya Allah menempatkan arwah ibu dalam kalangan orang beriman,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Noor Hidayanti berpisah de­ngan suaminya sejak sembilan tahun lalu dan Mohd. Arif merupakan anak tunggal arwah.

Allahyarham Noor Hidayanti Ngisah

Sementara itu, ibu arwah Noor Hidayanti, Kartina Husin, 65, memberitahu, anaknya sempat mengajar al-Quran kepada 15 kanak-kanak di rumah mereka pada Rabu lalu.

Tiada sebarang kelainan ditunjukkan anak sulung daripada empat beradik itu dengan pertemuan terakhir adalah ketika arwah bersiap-siap untuk me­ngajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Sireh.

“Saya terkejut kerana ramai yang hadir menunaikan solat jenazah arwah. Mungkin ada kebaikan yang arwah lakukan semasa hayatnya yang saya tidak tahu,” katanya.

Jenazah Noor Hidayanti di­sembahyangkan di Masjid Nurul Falah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Leman.

Motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang mangsa pada hari kejadian.

Kosmo! Online kelmarin mela­porkan seorang guru SRA Sungai Sireh yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas dirempuh kereta jenis Perodua Kenari dipandu pengusaha inap desa berusia 52 tahun.

Ketika kejadian, mangsa me­nunggang motosikal jenis Honda Wave. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di talian 03-3289 1222.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN