fbpx
RANCAKNYA gaya hidup kopi dalam kalangan masyarakat mendorong banyak kafe dan kedai kopi dibuka. – Foto Syakir Radin

Lepak kafe hirup kopi gaya hidup masa kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUNYI mesin kisar kopi memenuhi ruang saat melangkah masuk premis kafe minuman yang sudah menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat masa kini.

Tanpa mengira geografi, di bandar atau pinggir kota, menikmati secawan kopi menjadi panorama yang dapat dilihat di merata-rata tidak kira golongan anak muda atau berkeluarga.

Ruang premis yang selesa dengan kekemasan susun atur perabot dan alunan muzik perlahan dapat mewujudkan suasana tenang kepada pengunjung kafe.

Individu duduk sendirian menikmati bahan bacaan, bersembang bersama rakan atau fokus kepada skrin komputer riba menjadi antara pemandangan yang kerap dilihat di kafe yang bukan sahaja menjadi tempat lepak, tetapi juga lokasi pertemuan formal mahupun temu janji.

Kalau dahulu warung atau kedai kopi tempat orang lepak sambil minum kopi, kini masyarakat makin selesa ‘mengopi’ di kafe-kafe moden dan hipster.

Begitu juga dengan Siti Aishah Noor, 26, dari Kuala Lumpur yang menjadikan kafe sebegini sebagai salah satu sesi terapi pada setiap hujung minggu.

Tujuannya hanya satu iaitu menikmati segelas minuman kopi latte sambil berbual-bual bersama suami bagi mengerat hubungan. Setiap kali hujung minggu, dia akan melakukan sesi ‘buruan’ lokasi kafe menarik untuk dikunjungi.

Paling digemari dekorasi kafe yang menampilkan konsep minimalis dengan hamparan perabot gaya muji.

Kata Siti Aishah yang merupakan kakitangan swasta, menghabiskan masa dua atau tiga jam di kafe memberikan ketenangan selain mencipta memori baharu bersama insan tersayang.

“Setiap kali ke kafe selalunya saya akan memesan dua jenis minuman. Awalnya dimulakan dengan minuman panas kemudian beralih kepada minuman sejuk. Kadangkala rutin itu bertukar mengikut kesesuaian mood dan keadaan cuaca pada waktu itu.

“Sejak belajar di universiti lagi saya sudah terbiasa berkunjung ke kafe hanya untuk menikmati kopi. Adakalanya dahulu, saya akan duduk di kafe untuk menyiapkan tugasan kerana persekitaran lebih tenang dan selesa.

“Sesetengah kafe turut menyediakan kemudahan internet Wi-Fi yang tentu saja memudahkan para pelajar untuk mendapatkan maklumat,” katanya kepada CitaRasa.

NORDIN sering mengunjungi kafe untuk menikmati kopi selepas pulang dari kerja sebagai salah satu cara ‘me time’ bagi dirinya.

Kopi merupakan minuman yang berasal daripada biji kopi. Memetik kopilogi.com, biji kopi liar dipercayai berasal dari negara Ethiopia sebelum dibawa ke tanah Arab pada kurun ke-15.

Kemudian pada kurun ke-16 hingga 17, minuman kopi mula diperkenalkan di negara Eropah sekali gus mewujudkan banyak kedai minuman kopi.

Merupakan minuman kegemaran ramai, Aishah bagaimanapun mengakui dirinya bukan sekadar ‘kaki kopi’ bahkan boleh dikatakan ketagihan kopi kerana perlu minum kopi tiga kali sehari. Jika tidak, maka Aishah akan berasa hari yang berlalu tidak lengkap sehingga mampu menjejaskan emosi.

“Memang sudah menjadi kebiasaan apabila setiap pagi, tengah hari dan malam saya perlu minum kopi. Sama ada di rumah atau pejabat, saya perlu ada kopi.

“Disebabkan ketagihan kopi itu juga, setiap bulan saya akan asingkan sekitar RM300 untuk beli kopi.

“Tidak kira sama ada di kafe berjenama terkenal atau tidak, boleh dikatakan saya akan ambil sekitar 180 gelas kopi dalam tempoh masa sebulan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penggemar kopi, Sara Uzma Zahri, 25, menyifatkan berkunjung ke kafe menjadi salah satu cara untuk membebaskan dirinya daripada tekanan mengharungi hari-hari yang sibuk.

Muda mudi bergelak ketawa di kafe.

Sara juga sering menjadikan kafe sebagai pilihan terbaik untuk habiskan masa bersama teman-teman.

“Kafe sebegini memang tempat menarik untuk dikunjungi. Bukan sahaja di bandar, malah kafe berkonsep hipster dengan rekaan sederhana turut menjadi kegilaan anak muda di luar kota.

“Kebiasaannya saya akan berkunjung ke kafe sekitar empat hingga lima kali dalam sebulan. Selalunya saya akan pergi ke kafe yang berbeza untuk merasai menu baharu dan suasana berlainan.

“Kriteria utama yang saya cari di kafe adalah suasana yang tenang dan selesa di samping dekorasi menarik. Saya lebih suka kafe dengan hiasan dalaman yang moden dan minimalis,” ujarnya.

Bagi seorang guru dari Kuala Terengganu, Nordin Ismail yang berusia awal 40-an, menjadi kelaziman hampir setiap hari baginya selepas balik kerja untuk singgah ke kafe dahulu sebelum pulang ke rumah.

“Selepas hari yang melelahkan, kafe menjadi tempat pelarian terbaik. Di sinilah saya menikmati ‘me time’ ditemani secawan kopi dan ketenangan yang sukar dicari di tempat lain.

“Menikmati waktu di kafe yang tenang menjadi terapi tersendiri. Di sini ada suasana selesa, aroma kopi yang menyenangkan dan kebebasan untuk duduk berlama-lama sendirian tanpa rasa janggal,” kata Nordin.

Rancaknya gaya hidup kopi masa kini juga menjadikan lebih banyak kafe dibuka di seluruh Malaysia.

Desakan permintaan terhadap kafe kopi turut mendorong Dayang Areeda Datu Abdul Razak, 30, untuk membuka premisnya sendiri. Selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia misalnya menawarkan kerjaya barista, wanita yang mesra di sapa sebagai Dayang itu juga merupakan seorang penggemar kopi.

“Saya memang suka minum kopi dan gemar habiskan masa di kafe bersama rakan-rakan. Boleh dikatakan kafe kopi moden ini menjadi pilihan kerana ruangnya lebih selesa, memiliki penghawa dingin dan dekorasi yang estetik sesuai cita rasa orang muda.

“Sebelum buka kafe sendiri, saya menghadiri kursus pendek sekitar dua bulan untuk belajar menghasilkan minuman kopi.

“Cara ini membuatkan saya lebih memahami dan mengetahui bagaimana menghasilkan air kopi dengan betul,” jelas pemilik Bekeng Cafe di Taman Melawati itu.

Sebagai barista yang memiliki tiga tahun pengalaman, Muhamad Zakwan Hakim, 24, memberitahu teknik mengisar kopi memainkan peranan penting bagi mendapatkan rasa bersesuaian.

Zakwan mengambil masa sekitar setahun setengah bagi melengkapkan diri dengan ilmu menghasilkan minuman kopi

“Saiz kisaran kopi mempengaruhi rasa apabila diekstrak. Selain teknik bancuhan berbeza, tahap kisaran biji kopi mampu mencetus perbezaan rasa antara satu sama lain.

“Semakin halus dikisar, semakin pahit rasa kopi, manakala kisaran kasar memberikan rasa kurang pahit kerana kadar ekstrak yang rendah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN