fbpx
ANTARA mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang berjaya diselamatkan dari Myanmar dan Vietnam pada April tahun lalu. – FAISOL MUSTAFA

Jual orang lebih untung daripada dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aktiviti pe­merdagangan manusia kini men­jadi lubuk kepada sindiket antarabangsa untuk meraih keuntu­ngan lumayan dengan cara memperdaya dan memanipulasikan mangsa sebelum mereka dijadikan ‘hamba’.

Pelbagai taktik dilakukan oleh sindiket ini termasuk menerusi iklan pekerjaan palsu, ancaman dan ugutan selain mengeksploitasi golongan terdesak yang mahu mendapatkan gaji besar seperti orang muda dan orang miskin.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sehingga kini ribuan rakyat tempatan terperangkap dan menjadi hamba sindiket di beberapa negara termasuk Laos, Kemboja, Filipina dan Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun, pangkalan terbesar sindiket ini ialah di Myanmar.

Katanya, pihak scammer sanggup membayar sindiket pemerdagangan manusia sekitar AS$5,000 (RM22,000) bagi setiap individu yang berjaya dibawa ke wilayah Myanmar untuk menjadi ‘hamba’.

Beliau berkata, antara lokasi pemerdagangan manusia yang terkenal di Myanmar ialah di Myawaddy, KK Garden, Lauk­kiang dan paling ketat dikawal ketika ini adalah Tai Chung.

Katanya, penambahan wi­layah baharu itu menyebabkan sindiket perlu merekrut lebih ramai pekerja baharu termasuk dari Malaysia.

Hishamuddin

“Saya boleh katakan ketika ini masih ada ribuan rakyat Malaysia yang terperangkap di sana (Myanmar). Walaupun kita tiada angka tepat, tetapi berdasarkan aduan dan mangsa yang pernah kita selamatkan, mereka beritahu­ ramai rakyat Malaysia masih berada di sana.

“Kebanyakan wilayah scammer ini juga dikawal ketat oleh ‘askar upahan’ dan amat sukar untuk ditembusi oleh mana-mana individu termasuk pihak berkuasa negara lain ataupun NGO.

“Salah satu cara untuk masuk ke sana adalah dengan bantuan ‘orang dalam’ yang terdiri daripada rakyat tempatan dan bekas pihak berkuasa di negara tersebut.

“Mereka inilah yang banyak membantu MHO dalam setiap urusan menyelamatkan mangsa yang terperangkap di Myanmar,” katanya yang memberitahu kebanyakan mangsa berusia 30 tahun ke bawah.

Hishamuddin berkata, ‘industri’ scammer ini juga telah menjadi satu perniagaan baharu kepada penjenayah kerana pendapatannya itu sangat me­nguntungkan berbanding terlibat dalam pengedaran dadah.
Ini kerana katanya, risiko sindiket penipuan adalah rendah, namun pendapatannya amat lumayan berbanding dadah.

“Apa yang sindiket utamakan adalah pendapatan yang lebih tinggi. Berbanding dadah, hukuman jenayah itu juga cukup berat. Jadi pihak berkuasa perlu mengubah dimensi penguat­kuasaan mereka kepada sindiket ini kerana­ dadah bukan lagi sindiket nombor satu negara.

“Sebab kebanyakan laporan polis yang diterima ketika ini juga adalah melibatkan sindiket penipuan. Sebagai contoh pihak JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial) merekodkan jumlah kerugian melibatkan rakyat tempatan adalah sebanyak RM4.5 bilion pada tahun ini sahaja.

“Bagaimanapun, jumlah kerugian ini tidak sampai 30 peratus daripada nilai kerugian yang sebenar dialami mangsa kerana ramai mangsa yang tidak membuat aduan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Kata beliau, berdasarkan laporan Gogolook yang membangunkan aplikasi antipenipuan digital, jumlah sebenar kerugian yang dialami rakyat Malaysia lebih AS$12.8 bilion (RM57.6 bilion) setahun.

“Ketika saya menghadiri satu seminar bersama NGO yang membuka tempat perlin­dungan (mangsa pemerda­gangan manusia) di Mae Sot, Thailand, ada pengerusi sebuah NGO mendedahkan bahawa sindiket scammer ini memperoleh pendapatan sebanyak AS$3 trilion (RM13.5 trilion) setahun.

“Jumlah ini cukup besar dan ia tidak mampu dicapai oleh mana-mana sindiket termasuk sindiket dadah. Sebab itu kita lihat di Myan­mar pada tahun 2021 hanya ada 30 scam compound center atau di panggil wilayah scammer, tetapi pada tahun ini jumlah itu bertambah sehingga 70 kawasan.

“Malah jumlah ini akan makin bertambah dan ada maklumat mengatakan terdapat wilayah-wilayah baharu sedang dalam pembinaan dan akan beroperasi dalam masa terdekat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN