fbpx
Penduduk Orang Asli di Pos Bihai mengehadkan aktiviti di dalam hutan dan berada di rumah kerana bimbang dengan ancaman harimau belang di Gua Musang..

Hanya keluar gali ubi sebab takut pak belang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Bihai di sini masih ketakutan untuk ke kebun dan hutan kerana harimau yang didakwa menyerang dua ekor anjing peliharaan mereka masih belum masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata, rutin harian dan hasil pendapatan penduduk juga terjejas apabila takut untuk keluar mencari sumber makanan di hutan selepas mendakwa harimau masih bebas berkeliaran.

Katanya, penduduk Orang Asli mengambil langkah berjaga-jaga apabila berkurung dalam rumah menje­lang pukul 6 petang kerana bimbang terserempak dengan harimau.

“Kami bimbang kerana harimau masih bebas berkeliaran. Penduduk mengatakan masih terjumpa tapak harimau di kawasan rumah dan kebun mereka.

“Beberapa ekor anjing juga sebelum ini ditemui mati dipercayai dibaham oleh harimau berkenaan. Kami berharap harimau itu dapat masuk perangkap yang dipasang Perhilitan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Adik Along, 60, pula berkata, dia sentiasa membawa senjata seperti parang sebagai pertahanan diri walaupun kebunnya berada berhampiran rumah.

Katanya, penduduk tidak berani mencari sumber makanan dalam hutan secara berseorangan.

“Kami hanya pergi ke kebun berhampiran rumah untuk menggali ubi kayu atau mengambil sayur-sayuran sebelum terus pulang ke rumah,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Perhilitan Kelantan memasang dua perangkap harimau belang di Pos Bihai di sini susulan dua ekor anjing peliharaan penduduk Orang Asli dipercayai mati diserang haiwan itu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, perangkap telah dipasang bagi menangkap harimau itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN