fbpx
GAMBAR HIASAN

Guna agama buat jenayah seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gelaran agamawan yang sepatutnya menjadi simbol kepercayaan dan kesucian agama kini telah disalahgunakan oleh segelintir individu untuk me­lakukan jenayah seksual.
Situasi berlaku apabila keba­nyakan orang berilmu ini sering men­dapatkan kepercayaan ibu ba­pa serta masyarakat sehingga mendorong si pelaku mencari mangsa yang naif untuk melempias nafsu mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mendedahkan, golongan agamawan yang se­ring terlibat terdiri daripada guru agama, pendakwah selebriti serta ustaz.

“Pelaku yang menggunakan status agamawan akan meraih kepercayaan mangsa sebelum me­lakukan grooming.

“Modus operandi individu seperti ini adalah melibatkan pendekatan baik seperti memberi hadiah atau menunjukkan kebaikan kepada mangsa sebelum meminta mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh seperti urut di bahagian sulit, kemaluan atau perbuatan seksual,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelas Siti Kamsiah, statistik me­nunjukkan berlaku peningkatan kesalahan seksual melibatkan individu bergelar agamawan baru-baru ini.

“Kebanyakan pelaku dilaporkan adalah lelaki. Mang­sa melibatkan wanita lebih ramai, namun mangsa membabitkan lelaki menunjukkan trend meningkat.

“Mereka bermula dengan meminta urut, dan sete­rusnya melibatkan amang seksual, dan rata-rata mangsa malu untuk beritahu orang lain dan buat laporan.

“Bagi kes melibatkan kanak-kanak, ia terbongkar apabila salah seorang mangsa mula mendedahkan perlakuan agamawan ini sebelum mangsa yang lain mendedahkan perkara sama,” katanya.

Siti Kamsiah

Kata Siti Kamsiah, terdapat kes seksual yang mana melibatkan seorang yang dikenali sebagai pendakwah atau agamawan dan mangsa kanak-kanak lelaki belasan tahun yang tidak membuat laporan di peringkat awal sehinggalah kes terbongkar.

Ditanya mengapa mangsa tidak melaporkannya, Siti Kamsiah memaklumkan individu itu mengakui takut jika agamawan tersebut merajuk kerana pelaku menjadi tempat mereka mengadu termasuk libatkan isu kewangan.

“Ini adalah contoh bagaimana proses grooming berlaku, di mana pelaku menggunakan teknik manipulasi seperti memberi hadiah atau wang.

“Bagi mangsa lelaki, mereka tidak melihat kesan besar amang seksual kerana tidak meyebabkan kehamilan, seterusnya tidak membuat laporan tentang kejadian itu.

“Sehinggalah mereka tidak tahan dengan perlakuan itu dan membuat laporan,” katanya.

Kata beliau, kebanyakan kes yang berlaku juga melibatkan mangsa yang mengidolakan agamawan tersebut.

Dalam kes tertentu, Siti Kamsiah memaklumkan, pelaku akan memanipulasi keadaan sehingga mangsa berasa bersalah atau malu untuk mendedahkan kejadian tersebut.

“Taktik ini menjadi penghalang utama bagi mangsa untuk me­lapor kepada polis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN