MUHAMMAD AZRUL HAFIZI bersama Aina Damia, Nur Qaseh Melissa dan Nur Chinta Melissa di Kampung Tanjung Musang, Pokok Sena semalam.

‘Ayah dan mama dah tiada, jangan pisahkan kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POKOK SENA – Bapa saudara ke­pada empat beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri di Alor Pudak, Pendang Kha­mis lepas bertekad untuk menjaga semua mereka.

Kasuadinata Saad, 45, berkata, walaupun dia hanya bekerja sebagai tukang paip, dia dan isteri, Zuraina Abu, 53, akan berusaha menjaga empat beradik itu seper­ti anak sendiri.

“Memang ada yang bertanya untuk mengambil pasangan kembar sebagai anak angkat tersebut tetapi abang dan kakak mereka sudah cakap jangan pisahkan me­reka. Kami pun takkan sampai hati nak pisahkan mereka berempat.

“Walaupun keluarga kami tidak seberapa tetapi kami akan berusaha menjaga mereka dengan sebaik mungkin,” katanya di Kampung Tanjung Musang dekat sini semalam.

Empat beradik itu, Muhammad Azrul Hafizi, 15, Aina Damia, 14, bersama adik kembar mereka, Nur Qaseh Melissa Mazlan dan Nur Chinta Melissa, dua tahun memilih menetap di rumah keluarga bapa saudara selepas tragedi tersebut.

ARWAH ibu dan bapa Muhammad Muhammad
Azrul Hafizi dan tiag adiknya.

Muhammad Azrul berkata, di sebalik takdir yang keras itu dia dan Aina Damia nekad untuk memikul tanggungjawab menjaga adik kembar mereka itu demi melunaskan permintaan ibu bapa mereka sebelum ini.

“Pada hari kejadian, mama ada pesan sebelum keluar. Jaga adik elok-elok. Kami berdua ambil tanggungjawab itu dan akan jaga adik dengan baik. Kami tidak mahu dipisahkan, apa pun kami akan berempat. Jangan pisahkan kami.

“Qaseh dan Chinta rapat dengan kami kerana kalau mama dan ayah keluar bekerja sebelum ini kami yang akan jaga mereka berdua. Sudah terbiasa mengasuh mereka. Kami berdua paling tua jadi kami akan pikul tanggungjawab ini,”
katanya.

Dalam kejadian pada Khamis lepas, ibu bapa kepada empat beradik tersebut, Mazlan Abu Hassan 52, dan Noriza Saad, 34, maut bersama seorang lagi remaja berusia 14 dalam kemalangan pada pukul 11.20 malam itu yang melibatkan tiga ken­deraan.

Aina Damia memberitahu, mereka memilih untuk menetap di rumah bapa saudara yang terletak berdekatan dengan rumah ibu bapa mereka itu kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa itu.

“Tidak sanggup balik rumah kerana akan teringat kepada ayah dan mama. Rasa sedih jadi biarlah kami di sini. Bapa dan mak saudara pula sanggup jaga kami, jadi kami bersyukur sangat,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu empat beradik tersebut boleh menghulurkan sumba­ngan kepada Zuraina Abu melalui akaun BSN bernombor 0219141000014015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN