GEORGE TOWN – Tanggal 26 Disember menjadi titik ingatan kejadian ombak ganas tsunami yang membadai Pantai Miami di Batu Ferringgi sehingga mengakibatkan 37 nyawa terkorban.
Biarpun sudah dua dekad berlalu, A. Suppiah, 75, tidak pernah melupakan bagaimana ombak tsunami yang setinggi pokok kelapa menghempas kawasan pantai popular itu.
Suppiah yang kini sepenuh masa menjaga kafe keluarganya di Pantai Miami berkata, kejadian tsunami itu tidak pernah dilupakan walaupun memori berkenaan bukanlah satu kenangan manis untuk dikenang.
“Mana boleh saya lupakan kejadian tsunami, setiap kali tiba bulan Disember terutama menjelang 26 Disember, saya pasti terkenang peristiwa ombak besar tersebut.
“Saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat, anak saya, S. Thulaashi,20, yang digelar ‘bayi ajaib’ tsunami juga telah meningkat dewasa.
“Dia kini sedang belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang perakaunan, dia mahu mengejar cita-citanya menjadi seorang akauntan, kami sekeluarga sentiasa memberi sokongan kepadanya,” katanya.
Suppiah berkata, pada tahun ini dia tidak dapat mengadakan upacara sembahyang bagi mengenang mangsa-mangsa tsunami kerana menjalani pembedahan pada bahagian matanya semalam.
“Pihak hospital beri tarikh pembedahan mata saya pada 26 Disember ini, kalau saya tolak tarikh ini maka saya perlu tunggu tahun depan pula untuk rawatan mata, jadi tahun ini saya tidak dapat adakan upacara sembahyang di laut.
“Tahun depan saya akan terus melaksanakan upacara sembahyang ini,” katanya.
















