Antara babak dalam drama Andai Tiada Dia

Tonton drama jangan sampai terbawa emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELABUHKAN tirai minggu lalu, tidak keterlaluan jika penulis melabelkan drama Andai Tiada Dia antara karya fenomena tahun ini.

Naskhah yang diadaptasi daripada novel itu berjaya meledak dan meninggalkan impak luar biasa kepada penonton. Pada awalnya, drama ini meledakkan kemarahan penonton menerusi watak Intan lakonan Mimi Lana yang merampas suami kakaknya.

Pengarah juga mengheret penonton untuk merasai penderitaan Suri (Ummi Nazeera) yang berkali-kali ditimpa ujian. Kemuncaknya watak Falah lakonan Zahiril Adzim ‘dimatikan’ disebabkan penyakit kanser.

Bagi penulis itu kematian dalam drama yang paling tragis setakat ini. Mana tidaknya, hampir satu Malaysia menitiskan air mata. Jika dilihat kembali, hampir semua drama ada babak kematian, tetapi entah mengapa pemergian Falah paling terkesan. Barangkali lakonan hebat Zahiril.

Andai Tiada Dia berjaya mencipta naratif mendalam sehingga membuatkan penonton beremosi. Bukan sekadar cinta klise semata-mata, tetapi mengangkat tema pengorbanan, kepercayaan dan kekuatan untuk terus berdiri meskipun diuji dengan kehilangan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nasrudin Subhi berkata, ada segelintir penonton yang sukar untuk membezakan antara realiti dan fantasi kerana terlalu terbawa-bawa emosi drama tersebut.

“Penonton perlu faham semua itu bukan cerminan sebenar dan hanya berlandaskan lakonan serta skrip. Lebih ekstrem, mungkin ada yang ‘terperangkap’ dalam fantasi kerana obses dengan watak tertentu sehingga memberi kesan kepada kehidupan seharian.

“Penonton sepatutnya melihat pengajaran bukannya obses hingga menggoyahkan emosi sendiri,” katanya.

Jelasnya, penonton perlu sedar setiap paparan khususnya karakter dalam naskhah fiksyen hanya lakonan bersandarkan imaginasi penulis atau pengarah.

“Setiap individu perlu tahu membezakan lakonan dan realiti. Sebab itu kita harus cari aktiviti lain supaya dapat bantu memulihkan emosi. Jangan hanya duduk meratap menonton drama semata-mata.

“Obses dengan watak drama juga boleh beri impak kepada orang sekeliling. Jangan sampai hilang pertimbangan untuk membezakan realiti dan fantasi,” katanya.

Bagi pengarah Riza Baharudin, setiap drama arahannya perlu mempunyai pengajaran, bukannya untuk hiburan semata-mata.

“Ada banyak pengajaran yang kita boleh belajar termasuk saya sendiri. Pengajaran paling besar yang hendak disampaikan adalah jangan terlalu rasa memiliki sesuatu kerana semua ini hak Maha Esa dan tidak akan kekal selamanya,” katanya.

Riza turut menitipkan pengajaran agar penonton sedar bahawa usah meletakkan rasa cinta terlalu kuat terhadap seseorang

“Kalau rasa ketergantungan pada manusia terlalu kuat, kita pasti akan kecewa. Penonton juga usah terbawa-bawa emosi dan sebaik-baiknya ambil nilai positif dan buang yang negatif agar tidak dipraktikkan dalam kehidupan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN