HATI veteran askar British Rejimen Pengawal Singapura (SGR) itu sebak saat melihat satu per satu rakan seperjuangannya dahulu melangkah masuk ke dalam dewan.
Di dalam memori yang terakam di peti minda Yussof Ali, 78, rupa dan sosok sahabat-sahabatnya itu masih muda dan tegap sesuai dengan kerjaya mereka sebagai anggota unit badan beruniform.
Namun sama seperti keadaan dirinya sekarang, mereka juga tampil dengan rupa yang sudah berkedut seribu serta rambut yang dilitupi uban.
Sesetengah daripada rakan-rakannya tidak lagi sihat secara fizikal dan memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak.
Ketika itu, Yussof mula sedar bahawa sudah 53 tahun berlalu sejak kali terakhir mereka mengucapkan kata-kata selamat tinggal.
“Saya tak boleh nak bayangkan betapa sebaknya hati saya sewaktu melihat mereka kerana pelbagai memori lama bermain di dalam minda saya.
“Biarpun rupa kami sudah menua, tetapi saya masih boleh mengecam setiap seorang daripada mereka berdasarkan memori masa muda kami,” katanya kepada K2.
Yussof selaku Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia Wilayah Persekutuan bertindak sebagai penganjur majlis perjumpaan semula veteran askar British SGR.
Perjumpaan di Dewan Al-Firdaus Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri di Cheras, Kuala Lumpur itu berlangsung pada Sabtu lalu.

Majlis dihadiri oleh 14 orang bekas veteran dalam lingkungan usia 75 hingga 85 tahun yang datang dari seluruh pelosok tanah air.
Masing-masing hadir bersama ahli keluarga yang membantu pergerakan mereka memandangkan fizikal mereka sudah dimamah usia.
Paling mengharukan, terdapat dua orang veteran yang sanggup datang dari Kelantan untuk berada di pertemuan pertama bagi kebanyakan mereka itu.
Salah seorang, Mohamad Yusoff Daud sanggup menempah tiket kapal terbang balik hari, manakala seorang lagi, Ahmad Che Awang rela menempuhperjalanan selama lapan jam dengan menaiki bas.
Sementara veteran bernama Azizan Sudin turut melakukan pengorbanan sama apabila menaiki bas selama lebih kurang empat jam dari Johor.
Menurut Yussof yang berpangkat koperal, usaha mengumpul semula rakan-rakannya bukanlah satu proses yang mudah memandangkan mereka sudah terputus hubungan sejak tahun 1971.
“Setelah dihantar pulang ke Malaysia rentetan penarikan keluar tentera British dari Malaysia, kami tidak berhubung kerana pada masa itu tidak ada teknologi mudah alih seperti sekarang.
“Kami cuma ada alamat masing-masing yang tertera dalam rekod tentera kami. Cuma sejak beberapa tahun lalu, kami berjaya menjejak sebahagian daripada mereka menerusi pertanyaan mulut ke mulut,” katanya.
Untuk rekod, SGR ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1948 semasa era penjajahan British sebagai sebahagian daripada pasukan tentera British di Asia Tenggara.

Ia adalah sebahagian daripada usaha tentera British untuk meningkatkan keselamatan di Singapura selepas Perang Dunia kedua.
Ketika itu, rantau Asia Tenggara sedang menghadapi ketidakstabilan selepas perang, pemberontakan komunis dan peringkat awal Perang Dingin.
SGR dibentuk sebagai unit tambahan dalam struktur ketenteraan British yang ditugaskan untuk menjadi pengawal, memainkan peranan fungsi istiadat dan menjaga keselamatan dalam negeri.
Pembentukan unit ini bertujuan membolehkan tentera British terutama unit tempur barisan hadapan untuk menumpukan kepada tugas strategik yang lebih besar.
Keunikan uniform bagi unit tersebut adalah pemakaian songkok merah, wisel serta rantai semasa bertugas melakukan pengawalan.
Sementara itu, seorang lagi veteran, Mohamad Hanipah Mohamad yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang berkongsi pengalaman direkrut tentera British sehingga dibawa ke Singapura.
“Saya ingat lagi masa itu zaman 1960-an dan saya berusia 17 tahun. Saya teruja untuk sertai mereka tentera British.
“Saya ingat kami akan berpeluang bertugas di negara-negara Komanwel terutama di London, England. Rupa-rupanya kami hanya terperuk di Singapura,” katanya berseloroh.
Untuk pengetahuan, terdapat perbezaan di antara tentera kolonial British (termasuk SGR) dan Tentera Diraja Melayu (atau dahulu dipanggil Rejimen Melayu).
Unit tentera kolonial British sebahagian besarnya merupakan alat pemerintahan empayar, memiliki rekrut berbilang etnik tetapi tertumpu pada mengekalkan pemerintahan kolonial.
Sebaliknya, Tentera Diraja Melayu diasas pada 1933 oleh British untuk menyediakan pasukan tentera khusus untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Rejim tersebut eksklusif untuk etnik Melayu, menekankan taat setia kepada sultan dan masyarakat Melayu dan memperjuangkan prinsip-prinsip nasionalisme.
Tambah lelaki berusia 78 tahun tersebut, biarpun tidak terlibat dalam mana-mana pertempuran, pengalaman berlatih dan bertugas dalam SGR tetap memberikan kenangan terindah.
“Kami merupakan orang-orang dari Malaysia yang bertugas di Singapura. Banyak kenangan berlatih, bertugas dan tidur dalam satu unit.
“Walaupun tempoh tidak begitu lama, namun kami masih ingat pengalaman sebagai lans koperal tentera British dengan gaji berjumlah RM24 seminggu,” ujarnya.
Pada 20 Mac 1968, satu perjanjian penarikan keluar tentera British dari Malaysia telah ditandatangani Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Jabatan Perang, S.J.H Zaidi dengan setiausaha pasukan tentera British, C.E Starling.
Berikutan itu, pada tahun 1971, seramai 20,000 orang hilang pekerjaan dan 8,000 orang daripada jumlah tersebut adalah orang awam.
Setelah pulang, Hanifah menyertai Kor Polis Tentera Diraja dalam unit penyiasatan bermula 1972 sehingga bersara penuh pada 1993.
“Kami berpecah mengikut haluan masing-masing. Ada yang diserap dalam rancangan kemajuan tanah, ada yang masuk tentera diraja.
“53 tahun bukan masa yang singkat. Ada kawan antara kami yang telah pun meninggal. Ini merupakan satu kesempatan yang sangat berharga,” katanya.














