fbpx
Biarpun sibuk dengan pengajian dalam bidang perubatan di UM, namun Zeti tetap aktif membuat persembahan violin di dalam dan luar kampus.

Zeti bakal doktor hebat bermain violin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT bermain alat muzik violin dalam diri Dayang Zeti Kartini Abg. Zainudin, 21, mula tercetus ketika dia masih kanak-kanak lagi.

Menurut gadis yang mesra disapa Zeti itu, pada usia tujuh tahun, dia sering menonton kartun, Quincy from Little Einsteins sehingga tercetusnya minat terhadap alat muzik tersebut.

“Dalam kartun itu ada satu karakter bermain violin. Karakter itu amat mempengaruhi saya untuk turut sama bermain violin.

“Jadi, saya nyatakan hasrat kepada ibu dan bapa untuk bermain violin. Sejak itulah bermulanya perjalanan saya bermain violin sehingga sekarang,” katanya.

Untuk makluman, Zeti kini merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Universiti Malaya (UM).

Kata Zeti, ibu bapanya bertanggungjawab memberi galakan kepadanya untuk mendalami kemahiran bermain violin.

Kini, setelah meningkat remaja, Zeti masih aktif bermain violin, malah dia terlibat dalam beberapa persembahan muzik sama ada di dalam dan luar UM.

Dia juga pernah terlibat dalam satu persembahan di UM yang turut melibatkan artis jemputan seperti Najwa Latif, Insomniacks, Amir Jahari dan Masdo.

Selain itu, Zeti pernah mengiringi persembahan artis popular seperti Dayang Nurfaizah dan Bob AF.

Dia juga pernah terlibat melakukan rakaman bagi lagu pembukaan Sukma Sarawak 2016.

“Selain itu, saya terlibat dengan orkestra di bawah Kementerian Seni dan Kebudayaan di Sarawak.

“Jadi, saya terlibat mengiringi persembahan artis-artis tempatan di sana,” jelasnya.

Sementara itu, Zeti memaklumkan, violin merupakan sebahagian daripada hidupnya.

“Pada saya, bermain violin sangat teknikal dan rumit.

“Meskipun sudah lama menguasai kemahiran bermain violin, namun saya tetap berlatih pada setiap hari untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Setiap hari, Zeti akan mencari masa bermain violin untuk melengkapi hidupnya.

Selain itu, Zeti turut mempunyai dua buah band muzik sendiri yang aktif melakukan persembahan secara freelance.

Zeti juga menyimpan hasrat untuk mengiringi persembahan kumpulan Insomniacks dengan gesekan violinnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pengajiannya dalam bidang perubatan, Zeti menyatakan bahawa dia memilih jurusan tersebut kerana minat.

“Alhamdulillah, saya dapat menyambung pengajian dalam jurusan yang diminati.

“Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan menyumbang bakti dalam bidang ini dengan merawat mereka yang memerlukan,” ujar Zeti.

Dalam bidang perubatan, Zeti menaruh impian untuk menjadi pakar kecemasan dan jika diberikan peluang, dia mahu berkhidmat di kawasan dilanda konflik.

Meskipun di kawasan dilanda konflik mempunyai risiko amat tinggi, namun dia tetap menaruh impian untuk berkhidmat di tempat tersebut pada suatu masa nanti jika diberi peluang.

“Sebab utama saya ingin berkhidmat di kawasan konflik kerana terkesan melihat penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin dan Syria.

“Saya terkesan melihat kesengsaraan yang dihadapi mangsa-mangsa di kawasan konflik ini terutamanya kanak-kanak. Jadi, saya ingin menyumbang bakti kepada mereka.

“Salah seorang individu yang banyak mempengaruhi saya untuk berbakti di kawasan konflik ialah Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood. Beliau pernah berbuat demikian sebelum ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN