fbpx
Gambar hiasan

Ibu ‘pejam mata’ sebab takut kena cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Takut hilang punca pendapatan selain berdepan tindakan cerai menjadi faktor yang mendorong segelintir ibu sanggup memejamkan mata dan menutup mulut mereka di sebalik perbuatan sumbang mahram yang berlaku dalam keluarga.

Walaupun menyedari perbuatan suami terhadap anak itu salah, namun mereka tetap memilih untuk mendiamkan diri bagi memastikan rumah tangga tidak bermasalah terutama dalam soal ekonomi.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, tindakan berdiam diri itu berlaku kerana pelaku merupakan individu yang menanggung keluarga serta bersifat dominan.

“Kadang-kadang ibu mang­sa sendiri enggan melaporkan kes kerana bimbang kehilangan suami yang menjadi tonggak ekonomi keluarga.

“Malah, ada pelaku atau suami yang berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk itu menyebabkan ia diselesaikan secara dalaman tanpa melibatkan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah

Menurut Siti Kamsiah, dianggarkan 30 hingga 40 peratus kes sumbang mahram yang dilaporkan kepada pihak berkuasa sebenarnya berada di bawah pengetahuan ibu.

Menurutnya, kebanyakan ibu yang tahu mengenai perbuatan suami atau ahli keluarga lelaki lain terhadap anak perempuan mereka lebih cenderung untuk menafikan atau mengabaikan aduan mangsa.

“Mustahil seorang ibu tidak tahu jika perkara ini berlaku secara berterusan. Berdasarkan keterangan saksi, ada kes di mana si ibu pernah nampak, pernah menegur suami, malah mendengar pengakuan anak.

“Tetapi si ibu masih memilih untuk menafikan atau tidak mempercayai anak,” ujarnya lagi.

Tegasnya, orang dewasa yang mengetahui kes penderaan tetapi tidak melaporkannya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengulas lanjut, Kamsiah memaklumkan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual sering menunjukkan tanda-tanda trauma yang boleh dikenal pasti melalui perubahan tingkah laku dan fizikal mereka.

Kata beliau, perubahan itu biasanya dapat dikesan oleh orang sekeliling terutamanya guru, rakan, atau ahli keluarga.

“Kanak-kanak yang menjadi mangsa cenderung untuk me­nunjukkan kemurungan. Mereka mungkin menjadi pendiam, tidak mahu bercampur dengan orang lain, dan ada yang sampai cuba membunuh diri.

“Guru-guru dan rakan-rakan biasanya menjadi antara individu pertama yang dapat mengesan perubahan ini,” katanya.

Kata Kamsiah, ibu sebagai ahli keluarga terdekat perlu memainkan peranan dalam melindungi anak-anak mereka yang menjadi mangsa penderaan seksual.

“Ibu adalah orang pertama yang sepatutnya memberikan perlindungan kepada anak-anak. Jika mereka tidak bertindak, anak itu akan hilang tempat berlindung,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya ibu mempercayai anak-anak mereka dan segera melaporkan sebarang kejadian penderaan kepada pihak berkuasa.

“Tindakan ini penting kerana terdapat pelbagai agensi yang bersedia membantu, seperti hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan komuniti setempat.

“Bila mereka keluar daripada konflik tersebut, akan ada sokongan dari pelbagai pihak. Jadi, ibu perlu yakin bahawa bantuan itu sentiasa ada,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN