fbpx
TINDAKAN menyimpan atau membekukan mayat diharuskan sekiranya berada dalam situasi darurat termasuk untuk tujuan siasatan forensik dan bencana alam. – GAMBAR HIASAN

Haram simpan, beku mayat tanpa sebab sah – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Menyimpan atau membekukan mayat orang Islam tanpa sebab yang sah adalah haram di sisi syarak.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, Islam sangat menekankan agar jenazah individu beragama Islam diuruskan dengan segera termasuk memandikan, mengkafankan, solat dan kebumi.

“Rasulullah SAW bersabda agar segerakanlah pengurusan jenazah (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

“Maka, menyimpan atau membekukan mayat tanpa sebab syarie bertentangan dengan tuntutan menyegerakan pengurusan jenazah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

MOHD. SUKKI

Bagaimanapun katanya, tindakan menyimpan dan ­membekukan mayat diharuskan sekiranya berada dalam situasi darurat atau keperluan tertentu.

“Antaranya bagi tujuan menjalankan siasatan forensik atau undang-undang membabitkan kes pembunuhan, kemalangan atau keperluan bedah siasat di mana jenazah boleh disimpan sementara waktu.

“Kedua adalah pengangkutan ke tempat lain. Jika jenazah perlu dihantar ke negara atau lokasi yang jauh, pembekuan sementara mungkin diperlukan untuk menjaga kehormatan jenazah.

“Harus dilakukan juga sekiranya berada dalam keadaan darurat seperti bencana alam atau peperangan, di mana pe­ngurusan jenazah segera tidak dapat dilakukan,” ujarnya.

Dalam situasi tersebut, be­ritahu beliau, menyimpan atau membekukan jenazah sememangnya dibolehkan tetapi hanya untuk tempoh yang diperlukan dan dengan niat menjaga kehormatan si mati tersebut.

Tambahnya, sebarang tindakan berkaitan jenazah haruslah dilakukan dengan niat menjaga kehormatan manusia dan me­ngutamakan prinsip syariah.

“Jika ragu, rujuklah kepada ulama atau pihak berkuasa agama setempat untuk mendapatkan kepastian bagi hukum syarak isu yang berkaitan,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN