fbpx
DALAM konteks Perang Dunia Ketiga, peperangan secara fizikal perlu melibatkan banyak negara. - GAMBAR HIASAN/AFP

Perang Dunia Ketiga propaganda Barat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA penganalisis Barat kebelakangan ini kerap mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa dunia kini berada di ambang Perang Dunia Ketiga.

Dengan konflik di Asia Barat yang dilihat seperti tiada berpenghujung, malah semakin merebak, perang Ukraine juga masih belum reda bahkan turut mengheret sama Korea Utara, Korea Selatan serta sekutu-sekutu Baratnya.

Pakar keselamatan, Mark Toth dan bekas pegawai perisikan Amerika Syarikat, Kolonel (B) Jonathan Sweet berpendapat bahawa Perang Dunia Ketiga sudah pun bermula, namun ia berlaku menerusi cara lebih halus berbanding apa yang dialami Barat pada permulaan konflik global abad ke-20.

Peringkat awal Perang Dunia Ketiga kata mereka, bukan dengan penggunaan kereta kebal dan kubu parit di Ukraine, tetapi melalui ancaman hibrid, pertempuran terselindung serta perebutan ideologi dalam arena digital.

“Tiada awan cendawan (letupan nuklear) atau tanah apokaliptik. Sebaliknya, ia adalah peperangan dengan seribu penderitaan yang dilakukan merentasi medan perang berbilang domain dan wilayah,” kata mereka.

Kenyataan itu diperkuatkan lagi dengan tindakan sebilangan negara Eropah seperti Sweden yang mengedarkan risalah persediaan menghadapi perang kepada rakyatnya dan Finland yang melancarkan laman web persediaan perang baharu.

Jerman pula menyiapkan kemudahan awam bawah tanah yang akan diubah menjadi tempat perlindungan di tengah-tengah kebimbangan bahawa konflik Ukraine berisiko mencetuskan Perang Dunia Ketiga.

Menjawab kepada perkembangan tersebut, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, beliau bersetuju bahawa perang zaman kini bukan sahaja melibatkan pertempuran fizikal, malah di alam siber dan angkasa.

“Namun, dalam konteks Perang Dunia Ketiga, peperangan secara fizikal perlu melibatkan banyak negara, tidak seperti di Ukraine yang hanya melibatkannya dengan Russia secara langsung.

“Misalnya di Ukraine, ia hanya melibatkan negara itu dan Russia secara langsung. Begitu juga di Semenanjung Gaza yang hanya melibatkan Israel dan Palestin secara langsung.

“Justeru, masih belum boleh untuk mengatakan bahawa konflik-konflik itu akan meluas menjadi Perang Dunia Ketiga kerana ia tidak melibatkan banyak negara lain bagi pertempuran secara langsung,” katanya.

Ditanya mengenai kesedaran rakyat Malaysia terhadap persediaan menghadapi peperangan, Azmi berkata, tidak dinafikan bahawa tahap kesedaran rakyat negara ini sememangnya rendah.

Namun, hakikatnya beliau berkata, terdapat perkara lain yang lebih penting tentang isu keselamatan dan kedaulatan negara yang perlu diterapkan dalam kalangan rakyat.

“Misalnya tentang pertikaian di Laut China Selatan yang melibatkan pertembungan dengan beberapa negara Asia lain termasuk China.

“Pengetahuan kita mengenai isu ini agak rendah dan sensitiviti kita juga rendah. Bagi saya, buat masa ini, adalah lebih penting untuk kita menerapkan kesedaran kepada semua rakyat Malaysia mengenai isu tersebut berbanding Perang Dunia Ketiga,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN